Jumaat, 12 Julai 2019 | 6:22pm
BAS yang dinaiki Wan Mohammed Adam Mohd Suria sebelum maut selepas terjatuh dari bas terbabait di Kampung Kandis, Pasir Puteh. NSTP/Nor Amalina Alias.

Bas lantai bocor jalani pemeriksaan PUSPAKOM Mei lalu

SHAH ALAM: PUSPAKOM Sdn Bhd (PUSPAKOM) mengesahkan bas sekolah dinaiki murid Tahun Enam, Wan Mohammed Adam Mohd Suria yang maut selepas terjatuh dari kenderaan itu pada awal bulan ini, menjalani pemeriksaan berkala pada Mei lalu.

Jabatan Komunikasi dan Khidmat Pelanggan PUSPAKOM memaklumkan pemeriksaan itu dibuat mengikut segala skop dan piawaian ditetapkan.

“Pemeriksaan mendapati segala item pada bas itu dalam keadaan baik,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

PUSPAKOM juga menjelaskan pihaknya sudah menyerahkan laporan pemeriksaan bas itu selepas tragedi berkenaan kepada pihak polis kelmarin.

Katanya, pemeriksaan terhadap bas itu dilakukan pada Selasa lalu dengan kerjasama polis, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

“Hasil pemeriksaan itu tidak dapat didedahkan kerana ia bawah bidang kuasa polis.

“Bagaimanapun, PUSPAKOM ingin menegaskan kami tidak sesekali berkompromi terhadap kenderaan yang tidak mengikut piawaian yang ditetapkan bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Pada 4 Julai lalu, Wan Muhammed Adam, 12, maut selepas terjatuh dari bas sekolah yang sedang bergerak, dipercayai akibat terpijak lantai bas berlubang di Kampung Kandis, Pasir Puteh, Kelantan.

Dalam kejadian jam 11.50 pagi itu, mangsa bersama rombongan sekolahnya dalam perjalanan ke Bukit Keluang, Besut, Terengganu bagi mengikuti Bengkel Bahasa Inggeris bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Sementara itu, PUSPAKOM turut memaklumkan sebanyak 26,000 bas sekolah diperiksa sepanjang Julai 2018 hingga 30 Jun lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 7,300 bas didapati tidak mengikut piawaian ditetapkan.

“Pemeriksaan merangkumi bahagian atas dan bawah kenderaan, brek, sistem gantungan kenderaan, gelincir sisi, asap dan bahagian lain lagi yang tertakluk dalam skop pemeriksaan.

“Rekod ini jelas menunjukkan PUSPAKOM tidak sewenang-wenangnya meluluskan kenderaan yang tidak menepati skop dan piawaian pemeriksaan,” katanya.

Berita Harian X