Sabtu, 13 Julai 2019 | 7:31pm
Penunggang motosikal menggunakan laluan kereta di Lebuhraya Persekutuan ketika tinjauan BH. - Foto Hafiz Sohaimi /BH

Gadai nyawa guna laluan motosikal

Kuala Lumpur: Ramai penunggang motosikal di lebuh raya yang mempunyai laluan khas takut untuk menggunakan laluan itu, dan lebih rela disaman polis daripada mengambil risiko membahayakan diri.

Situasi itu lebih ketara pada waktu malam sehingga awal pagi atau di laluan tertentu yang sunyi serta agak jauh daripada pandangan pengguna lain di laluan utama.

Mereka mendakwa laluan motosikal tidak selamat atas pelbagai faktor dan sanggup meredah kesesakan di laluan utama yang dipenuhi kenderaan lain, terutama pada waktu puncak.

BH melakukan tinjauan di beberapa lokasi yang mempunyai laluan motosikal iaitu di Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Koridor Guthrie, Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan laluan khas di Putrajaya.

Lebuhraya Persekutuan sepanjang 48 kilometer (km) dari Bangsar ke Klang sepatutnya menjadi pilihan selamat kerana sudah dinaik taraf, namun masih banyak kawasan yang dianggap menakutkan pengguna.

Contohnya, Terowong Nombor 2, dari arah Kuala Lumpur hampir sepanjang 100 meter cukup gelap kerana lampu terowong rosak, bahkan pada sebelah siang, penunggang terpaksa membuka penghadang topi keledar.

Ini kerana, jarak penglihatan amat terhad dan lebih berbahaya pada waktu malam dan hujan, kerana penunggang tidak akan nampak takungan air.

Begitu juga dengan Terowong Nombor 11, 12, 13, 17, (dari arah Klang) yang menghadapi masalah lampu rosak, bahkan hampir semua lampu di siling terowong, tercabut.

Ada juga laluan yang melencong agak jauh dari lebuh raya dan dikelilingi semak, sekali gus menimbulkan rasa bimbang kerana keadaan gelap serta berisiko menjadi mangsa jenayah seperti samun.

Laluan menghala ke Cheras, Jalan Klang Lama atau pusat bandar berhampiran pusat beli belah MidValley juga berisiko.

Laluan di situ agak sempit, terlalu banyak terowong gelap dan ketika ini, ada lencongan yang mengelirukan menghala ke Cheras.


Penunggang motosikal menggunakan laluan kereta di Lebuhraya Persekutuan ketika tinjauan BH. - Foto Hafiz Sohaimi /BH

Kawasan itu kini disenarai hitam oleh Mohammad Zaki Awaludinn, 24, yang pernah menjadi mangsa samun di situ dan sehingga kini, anak muda ini serik dan tidak akan sesekali menunggang di laluan motosikal.

Detik hitam itu berlaku pada Januari 2017, ketika Zaki yang bekerja sebagai pembantu teknologi maklumat di Menara Rebung baru tamat bertugas pada jam 11.30 malam dan dalam perjalanan pulang ke Semenyih.

“Ketika masuk ke terowong, kawasan itu memang gelap. Tiba-tiba saya terlanggar sesuatu di dada dan terus terjatuh. Saya menyangka terlanggar ranting kayu, tetapi sebenarnya ia adalah dawai besi yang dipasang di situ.

“Dawai itu dipaku pada dinding terowong dan terkena tepat pada dada saya. Ketika terjatuh, dua lelaki memakai topi keledar masuk ke terowong dan terus menyerang,” katanya ketika ditemui.

Seorang daripada lelaki itu memukul menggunakan kayu, tetapi berjaya dielak dan terkena motosikal Zaki, tetapi rakannya datang memeluk dari belakang.

“Mereka menggeledah seluruh badan mencari barang berharga tetapi gagal kerana telefon bimbit serta dompetnya disimpan di dalam beg sandang.

“Saya cuma mahu melepaskan diri. Saya gunakan pen di dalam poket seluar dan terus tikam kaki lelaki itu menyebabkan dia melepaskan pelukan.

“Ketika itu, sebuah motosikal lain masuk ke terowong. Dua penyamun itu terus lari. Saya bernasib baik, jika tidak, belum tentu saya selamat,” katanya.

Zaki dan penunggang motosikal berkenaan kemudian mencabut dawai besi yang dipasang secara melintang pada dinding terowong berkenaan.

“Sampai sekarang saya langsung tak gunakan laluan motosikal. Biarlah jika saya kena saman,” katanya.

Beberapa penunggang lain juga berkongsi pendapat sama. Mereka tidak akan menggunakan laluan motosikal pada waktu malam atau waktu sunyi, terutama hari cuti atau hujung minggu.

Walaupun kes jenayah samun agak terpencil di lebuh raya, mereka tetap beranggapan laluan di kawasan tertentu sebagai ‘kawasan panas’ terutama menuju ke Klang.

Shazli Mat Isa, 32, mengakui, selepas jam 9 malam, dia langsung tidak berani menggunakan laluan berkenaan kerana bimbang keselamatan dirinya.

“Kalau ada ‘geng’ (motosikal lain), barulah saya akan masuk ke situ. Saya takut kena ‘rembat’. Apabila bergerak dalam kumpulan, rasa lebih selamat walaupun kami tidak kenal sesama sendiri.


Laluan motosikal kerap dinaiki air, terutama di kawasan terowong di Lebuhraya Persekutuan.

“Sini banyak kawasan panas. Memang saya tak pernah kena, tetapi banyak kes sabotaj. Kawasan terowong pun gelap, tak ada lampu. Itu belum dikira kes ‘tabur paku,” katanya yang berulang-alik dari Klang ke ibu negara, sejauh 80 km, setiap hari.

Shazli mengakui dia juga mengambil risiko kerana menggunakan laluan utama, tetapi lebih sanggup meredah kesesakan daripada menjadi mangsa jenayah di laluan motosikal.

BH mendapati ramai penunggang motosikal turut bersesak dengan kenderaan lain di Plaza tol Bukit Jelutong dan situasi itu memang berbahaya.

Ketika tinjauan di Lebuhraya Koridor Guthrie, keadaan seperti itu bertambah sesak mulai jam 5.30 petang.

Ketika BH melakukan rakaman di situ, berlaku kemalangan ngeri membabitkan penunggang motosikal apabila kenderaannya merempuh sebuah kereta yang berhenti selepas plaza tol.

Laluan motosikal Lebuhraya Koridor Guthrie juga berdepan isu sama kerana terlalu gelap dan berbahaya. Contohnya, perjalanan singkat dua hala Denai Alam ke Bukit Jelutong yang langsung tidak mempunyai lampu jalan.

Begitu juga kawasan terowong berhampiran plaza tol yang bersebelahan kawasan semak dan cukup gelap. Jika berlaku kemalangan atau kes jenayah di kawasan itu, memang sukar untuk mangsa mendapatkan bantuan.

‘Jerangkap samar’ di KESAS, laluan Putrajaya ‘mati’

Kuala Lumpur: Penunggang motosikal di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) mendakwa banyak ‘jerangkap samar’ yang menunggu mereka di laluan khas yang menjadi punca utama mereka menggunakan laluan utama.

Ada yang mendakwa, rakan mereka pernah menjadi mangsa samun selepas terjatuh apabila terkena batu bata yang diikat menggunakan tali pada pokok dan dihayunkan kepada penunggang.

Kejadian itu berlaku di kawasan sunyi dikelilingi pokok besar dan agak jauh dari laluan utama.

Berdasarkan laporan pada Oktober 2016, kumpulan penjenayah pernah memasang ‘jerat’ dawai merentangi laluan motosikal di Kesas bertujuan mencederakan mangsa sebelum merompak.

Seorang anggota peronda Lebuhraya KESAS pernah menjadi mangsa selepas lehernya tersangkut pada dawai berkenaan di Kilometer 49.7 dari arah Kuala Lumpur.

Tinjauan BH di laluan berkenaan, mendapati ada beberapa laluan agak tersorok dan jauh daripada pandangan pengguna lain di laluan utama.

Seorang penunggang, Mohd Shahri Mohd Rafdzi, 37, mengakui pernah mendengar kes penunggang terkena hayunan bata yang diikat pada pokok, namun dia bersyukur kerana belum pernah berdepan kes seumpamanya.

Mohd Shahri yang kerap menggunakan KESAS dan Lebuhraya Persekutuan menegaskan, masih banyak perkara perlu diberi perhatian kerana laluan itu kerap berdepan masalah banjir kilat, lencongan, laluan gelap selain isu sabotaj.

“Kami serba salah, memang sudah ada laluan khas tetapi kami takut kena samun. Jika laluan itu terang, risiko berlaku jenayah memang rendah.

“Jika diberi pilihan di antara nyawa dan saman, saya pilih nyawa. Biarlah saya kena saman. Kami menggunakan motosikal untuk jimatkan masa dan kos, tetapi terpaksa gadai nyawa,” katanya.

Tinjauan mendapati, ramai penunggang motosikal meredah Plaza Tol Awan Besar walaupun terpaksa mengambil risiko bersesak dengan kenderaan lain.


Tinjauan laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan berhampiran terowong nombor 2 dari arah Kuala Lumpur ke Klang.

Bahkan, penunggang motosikal dari arah Sungai Besi ke Bukit Jalil juga terpaksa melalui satu kawasan yang sunyi, dipenuhi pokok besar dan berpotensi menjadi kawasan jenayah seperti samun.

Bagi S Murugan, 39, dia tidak akan menggunakan laluan itu selepas jam 7 malam kerana bimbangkan keselamatan diri.

“Belum kena (samun), tetapi kita kena berhati-hati. Di sini pun banyak sangat lencongan ke jalan utama. Memang bahaya kerana ada pengguna yang tidak fokus kerana menggunakan telefon bimbit ketika memandu,” katanya.

Tinjauan di Putrajaya pula menyaksikan situasi berbeza kerana laluan di situ boleh dikatakan langsung tidak ‘diusik’ oleh penunggang motosikal.

BH mendapati dua terowong di laluan motosikal dijadikan tempat rehat, berdasarkan penemuan tilam getah, tikar, botol minuman yang ditinggalkan di situ.

Ia menggambarkan laluan itu cukup selamat kerana jarang digunakan. Selepas beberapa jam meninjau di laluan berkenaan, kami hanya menemui sebuah motosikal yang menggunakan laluan itu.

Penunggang lain lebih selesa menggunakan laluan utama dan ketika tinjauan, BH terkejut kerana terdapat tiga motosikal dinaiki lima lelaki dipercayai warga asing yang menunggang menongkah arus.

Mereka dipercayai bekerja di kawasan berdekatan dan menunggang melawan arus sebelum keluar ke jalan pintas.

Berita Harian X