Isnin, 15 Julai 2019 | 12:31pm
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Hospital Medan Malaysia beroperasi hingga 2021?

KUALA LUMPUR: Kerajaan masih mempertimbangkan kewajaran meneruskan operasi Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar, Bangladesh sehingga 2021.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata Malaysia meletakkan komitmen tinggi bagi memenuhi keperluan perkhidmatan hospital untuk manfaat pelarian itu dengan melanjutkan operasinya sehingga 31 Disember ini.

Selain itu, beliau berkata, timbalannya, Liew Chin Tong mengadakan lawatan kerja ke Bangladesh pada 14 hingga 17 Mei lalu untuk menilai sendiri keadaan operasi hospital berkenaan.

“Timbalan saya turut berbincang dengan kepemimpinan tertinggi Bangladesh berhubung hala tuju hospital berkenaan, malah mereka menyambut baik sumbangan Hospital Medan Malaysia.

“Bangladesh mencadangkan hospital ini meneruskan operasi sehingga 2021, justeru kita masih mempertimbangkan cadangan berkenaan.

“Kita perlu meneliti beberapa aspek, termasuk dengan mengambil kira kesan utama terhadap pelarian Rohingya itu sendiri,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) mengenai keberkesanan operasi Hospital Medan Malaysia, selain hala tuju pembabitan Malaysia dalam usaha kemanusiaan terhadap krisis Rohingya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas) sama ada Malaysia berhasrat menggunakan saluran diplomasi ketenteraan bagi merungkai isu Rohingya, Mohamad berkata, pelbagai perkara ditimbulkan dalam pertemuan dua hala antara Malaysia dan Myanmar.

“Kita timbulkan persoalan bagaimana untuk selesaikan (masalah pelarian Rohingya sehingga mencari perlindungan di negara jiran) Myanmar beri jaminan sedia terima pelarian Rohingya yang ada identiti.

“Bagaimanapun, ada golongan yang berhijrah ini mempunyai identiti, tetapi sebahagian lain tiada kad kerakyatan, sama ada ia disengajakan atau sebaliknya, kena siasat.

“Sehingga kini, kita menerusi pelbagai agensi termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) membantu mereka (pelarian Rohingya).

“Identiti sangat penting supaya usaha mengembalikan mereka ke tanah air iaitu Myanmar berupaya dilakukan mengikut prosedur,” katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X