Isnin, 15 Julai 2019 | 8:03pm

Pencemaran 'bunuh' Selat Johor

PASIR GUDANG: Hidupan laut di Selat Johor kini diancam kepupusan, menyebabkan punca rezeki ratusan nelayan terjejas apabila pencemaran toksik didakwa sudah berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu.

Insiden pencemaran sungai di sekitar selat yang turut dikenali sebagai Selat Tebrau, menambah derita nelayan apabila sisa toksik didakwa dibuang dan dialirkan secara haram sejak sekian lama sehingga meracuni hidupan laut.

Tinjauan BH di beberapa sungai termasuk Sungai Kim Kim, mendapati aliran seakan-akan minyak hitam pekat mengalir dari hilir sungai dan lapisannya mencemari Sungai Kim Kim yang bersambung dengan Selat Johor.

Sungai lain yang didakwa tercemar dengan toksik sehingga menjejaskan pendapatan nelayan termasuk Sungai Masai, Sungai Masai Kecil, Sungai Perempi, Sungai Latoh serta Sungai Perigi Acheh, semuanya bersambung dengan Selat Johor.

Pensyarah Kanan, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof Madya Dr Radin Maya Saphira Radin Mohamed, berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu segera menangani masalah pencemaran yang disebabkan sisa efluen loji kumbahan yang mengalir dari sungai ke kawasan laut.

Ini kerana katanya, ia mampu mendatangkan risiko kesihatan yang tinggi kepada penduduk sekitar terutama nelayan, selain mencemarkan alam sekitar.


Pemandangan dari udara menunjukkan pencemaran seperti lapisan minyak dikesan di muara Sungai Kim Kim, Pasir Gudang. - Ihsan Jabatan Laut Wilayah Selatan

Katanya, loji kumbahan yang lama perlu diperbaharui sistemnya bagi memastikan ia dapat memproses sisa kumbahan secara sistematik manakala yang sudah tidak dapat menampung pertambahan sisa perlu dipertingkatkan kapasitinya supaya tidak mengalir ke sungai.

“Pendedahan terlalu lama kepada bakteria E Coli dan ammonia sebenarnya amat berbahaya kerana kuman dapat memasuki bahagian badan melalui udara dan yang paling terdedah adalah bayi, kanak-kanak, warga emas dan pesakit saluran pernafasan serta kronik.

“Tahap pencemaran tinggi juga bukan sahaja menyebabkan kepupusan hidupan air, malah boleh jadi keracunan menerusi makanan dan minuman,” katanya.

Beliau pernah membuat kajian di Sungai Benut, Simpang Renggam yang dicemari ammonia dari tapak pelupusan sampah, kilang penternakan ayam dan ladang sawit, tahun lalu dan menurutnya fenomena hampir sama berlaku di Selat Johor.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Johor Selatan, Azli Mohd Aziz, 53, mendakwa hampir 400 nelayan pantai di Pasir Gudang terjejas selepas pencemaran di sungai yang mengalir ke Selat Johor menyebabkan mereka hilang mata pencarian.

Sejak 10 tahun lalu, katanya, pencemaran sungai terutama Sungai Kim Kim sudah beberapa kali dilaporkan media apabila air sungai berubah hitam dan berbau busuk sehingga hidupan air termasuk ikan mati di permukaan sungai.


Tebing sungai Kim Kim berwarna hitam dan berbau busuk. - NSTP/Zain Ahmed

“Sebelum ini, isu pencemaran itu memang mendapat perhatian, tetapi hangatnya hanya sekejap. Sebelum ini juga, pelbagai ujian juga dibuat ke atas sampel air sungai oleh agensi kerajaan berkaitan, namun hasilnya ia disahkan bersih dan tidak tercemar.

“Yang peliknya, hidupan sungai dan perairan berhampiran, terutama ikan, udang dan ketam perlahan-lahan pupus. Tiada sesiapa pun mengendahkan isu ini sehinggalah sisa kimia berbahaya dikesan di Sungai Kim Kim,” katanya.

Azli berkata, kawasan perairan Pasir Gudang dulu adalah lubuk hidupan laut dan terkenal dengan udang serta ikan sembilang yang besar, namun ia semakin berkurangan.

“Kini ikan di sini dipercayai dicemari toksik. Kami pernah memasak ikan sembilang yang ditangkap di sini, namun ia kemudian terpaksa dibuang kerana berbau seakan-akan bau minyak.

“Sejak itu nelayan tidak berani menaikkan hidupan sungai dan laut di sesetengah kawasan di sini termasuk berhampiran kawasan perindustrian,” katanya.


Pencemaran dan lapisan minyak dikesan di muara Sungai Kim Kim. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Air hitam, berbau busuk

Fenomena perubahan beberapa sungai di sini, yang bertukar menjadi hitam dan berbau busuk, disahkan dicemari sisa efluen dari loji kumbahan, selain sisa industri dan tapak pelupusan haram.

Pemantauan yang dijalankan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor dan Jabatan Laut Malaysia Wilayah Selatan di bahagian tengah Sungai Kim Kim kelmarin, mendapati air sungai berkenaan kehitam-hitaman serta mengeluarkan bau busuk.


Anggota Jabatan Laut Wilayah Selatan menggunakan dron membuat tinjauan di muara Sungai Kim Kim, Pasir Gudang. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Wartawan BH bersama jurugambar mengikuti tinjauan empat jam bermula 9 pagi itu terpaksa menggunakan penutup mulut dan hidung ketika berada di kawasan sekitar sungai berkenaan.

Jabatan Laut Malaysia juga menggunakan bantuan dron bagi mengambil video di beberapa bahagian sungai sehingga ke kawasan perairan di Selat Johor bagi mengesan punca air menjadi kehitaman.

Mengulas penemuan berkenaan, Pengarah JAS Johor, Wan Abdul Latiff Wan Jaafar, berkata berdasarkan keadaan fizikal air sungai bertukar hitam dan berbau busuk sejak dahulu disyaki berpunca daripada pelepasan kumbahan dari loji dan kawasan perumahan yang terletak di hulu dan sepanjang Sungai Kim Kim.

Katanya, pelepasan sisa industri juga turut menyumbang kepada masalah pencemaran di sungai berkenaan ditambah aktiviti kawasan pelupusan sampah haram yang berlaku di situ.

“Tidak dinafikan pelepasan kumbahan yang gagal mematuhi standard pelepasan boleh menjejaskan kualiti air sungai termasuk Sungai Kim Kim disebabkan oleh faktor beban pencemaran organik (BOD Loading) yang akhirnya boleh menjejaskan hidupan akuatik di kawasan sungai dan juga di sepanjang Selat Johor sekiranya tidak dikawal.

“JAS akan memberikan tumpuan kepada punca pencemaran yang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan peraturan di bawahnya bagi menangani pencemaran di sepanjang kawasan sungai sehingga Selat Johor,” katanya.

Berita Harian X