Isnin, 15 Julai 2019 | 8:43pm
GAMBAR fail, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana, 8 Julai lalu. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Batal keputusan jika ada campur tangan istana - Tun M

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan Persekutuan akan membatalkan keputusan kerajaan Johor mengekalkan takrifan had umur belia dari 15 hingga 40 tahun, jika didapati ada campur tangan pihak istana.

Perdana Menteri berkata, beliau belum menerima sebarang penjelasan atau alasan daripada Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, berhubung pendirian negeri itu mengekalkan takrifan had umur belia hingga 40 tahun.

“Dia (Dr Sahruddin) tak bagi penjelasan pun, saya akan tanya (berhubung keputusan Johor), lepas tu saya beritahu.

“Istana tak ada hak untuk campur tangan dalam perkara ini, kalau kita dapati istana ada campur tangan, kita akan batalkan keputusan ini,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU di Yayasan Kepimpinan Perdana, petang tadi.

Sebelum ini, Dr Sahruddin menegaskan isu had umur belia di negeri itu sudah selesai iaitu kekal dengan takrifan dari umur 15 hingga 40 tahun.

Pada 8 Julai lalu, Dr Sahruddin, dalam satu kenyataan, memaklumkan kerajaan Johor menetapkan pendirian mengekalkan had umur belia dan masih mentakrifkan definisi belia dari umur 15 hingga 40 tahun.

Namun, sehari kemudian Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali, dalam satu kenyataan, memaklumkan kerajaan negeri menerima pindaan umur belia 15 hingga 30 tahun.

Hanya selepas lapan jam menerima pindaan umur itu, kerajaan Johor membuat kejutan apabila mengekalkan semula had umur belia di negeri ini kepada 40 tahun.

Berikutan itu, Dr Mahathir sebelum ini berkata kerajaan akan meneliti sama ada wujud campur tangan Istana Johor berhubung isu had umur belia yang menyaksikan kerajaan negeri itu mengubah pendirian beberapa kali.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum itu dilaporkan berkata, beliau dimaklumkan beberapa perubahan keputusan yang diambil kerajaan negeri Johor berhubung isu had umur belia itu disebabkan pandangan Istana Johor.

Berita Harian X