Selasa, 16 Julai 2019 | 8:16pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media di lobi Parlimen selepas menggulung RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 di Dewan Rakyat, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

'Hari bersejarah buat Malaysia'

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad gembira melihat proses demokrasi berparlimen negara berjalan lancar apabila Rang Undang-Undang (RUU) yang dibentangkan di Dewan Rakyat, diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen.

Perdana Menteri berkata, keputusan 211 Ahli Parlimen menyokong RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 menggambarkan kematangan dan pencapaian rakyat yang memilih Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan.

“Ini hari bersejarah bagi Malaysia. Tidak pernah berlaku. Saya sudah biasa dengan Parlimen tapi ini kali pertama satu undang-undang diluluskan dengan (sokongan) semua pihak. Tidak ada satu pun undi menolak.

“Ini era baharu yang mana parti lawan pun nampak kebaikan tindakan diambil kerajaan ini,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen selepas menggulung RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

Yang turut serta, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan selepas bacaan kali ketiga dan diterima tanpa pindaan menerusi undi belah bahagian yang menyaksikan 211 Ahli Parlimen bersetuju, manakala tiada yang membangkang dan tidak mengundi.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kerajaan kepada blok pembangkang yang terbabit dalam melakar sejarah baharu negara apabila menunaikan janji menyokong pindaan berkenaan.

“Kita berterima kasih kepada mereka kerana menunaikan janji. Tidak seperti kali pertama kita nak waktu tiga wilayah (Perjanjian Malaysia 1963),” katanya.

Dr Mahathir berkata, ada pihak mempersoalkan mengapa Barisan Nasional (BN) tidak meminda RUU berkenaan ketika era beliau menjadi Perdana Menteri.

“Masa jadi Perdana Menteri dahulu tidak teringat nak turunkan umur pengundi kepada 18 tahun.

“Sebelum saya ambil alih (kerajaan) tidak berlaku, tapi kali ini ia berlaku dengan sokongan semua. Tidak ada satu pun (Ahli Parlimen) yang menolak.

“Ini 100 peratus jauh lebih tinggi daripada dua pertiga yang kita perlukan supaya Perlembagaan dapat dipinda,” katanya.

Dr Mahathir berkata, keputusan ini juga menunjukkan kematangan rakyat apabila tiada rusuhan atau keganasan tercetus ketika berlaku peralihan kerajaan.

“Perubahan kerajaan berjalan lancar dan kali ini, julung kali dalam kerajaan, kita mencapai sokongan semua parti secara total. Ini pencapaian rakyat Malaysia yang memilih wakil mereka,” katanya.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata, keputusan pindaan RUU Perlembagaan hari ini adalah kemenangan semua parti merangkumi PH, BN, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Apabila kerajaan tidak ada majoriti dua pertiga tetapi tetap dapat satu padukan semua parti demi anak muda, kemenangan ini tidak berpihak kepada PH, BN, PAS atau GPS tetapi milik anak muda.

“Mereka mahu suara bergema di Parlimen dan luar Parlimen supaya semua pihak ambil pandangan mereka dengan lebih serius dan memperjuangkan masalah mereka secara lebih serius,” katanya.

Berita Harian X