Rabu, 17 Julai 2019 | 1:17pm
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Rombak Air Selangor jika gangguan bekalan tak selesai

KUALA LUMPUR: Pengurusan kanan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) wajar dirombak jika masalah gangguan bekalan air di Lembah Klang pada 23 Julai ini tidak diselesaikan mengikut jadual.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago, berkata Air Selangor perlu mengambil perhatian serius terhadap gangguan bekalan air yang menjejaskan ribuan pengguna itu.

“Kami sudah berbincang iaitu jika bekalan air tidak dapat disalurkan (kepada pengguna) selepas jam 9 malam (26 Julai), SPAN akan meminta Menteri Besar Selangor (Amirudin Shari) membuat rombakan pengurusan Air Selangor.

“Ini amaran kita kepada Air Selangor. Kita harap tindakan serius diambil mereka untuk menyelesaikan masalah gangguan ini mengikut jadual,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Klang, berkata kerja penambahbaikan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) tidak dibuat sewenang-wenangnya, sebaliknya dilakukan untuk meningkatkan rizab air terawat di Selangor.

Katanya, margin rizab air di Selangor ketika ini semakin kecil dan memerlukan usaha untuk ditingkatkan bagi menambah keselesaan kepada pengguna, di samping memenuhi permintaan domestik.

“Rizab margin air di Selangor ketika ini sangat rendah iaitu dalam dua peratus, justeru projek yang dinyatakan itu akan meningkatkan kapasiti rizab margin pada Januari tahun depan kepada 8.7 peratus.

“Bila rizab margin rendah, ada kerja penutupan loji dan sebagainya, tidak ada alternatif sumber untuk gantikan air yang ditahan.

“Sekiranya rizab tinggi atau berlebihan dan air dapat disalurkan, kesannya tidak terlalu besar,” katanya.

Beliau berkata, SPAN sudah menetapkan supaya setiap pengendali air di semua negeri memastikan rizab margin air mereka berada pada tahap 20 peratus.

Dalam pada itu, Charles berkata, SPAN akan memantau secara dekat kerja penambahbaikan LRA SSP1 minggu depan.

“Kita akan memantaunya dengan rapi dan berharap rakyat dapat melakukan persediaan memandangkan notis penutupan ini sudah dimaklumkan lebih awal,” katanya.

961 dibaca
Berita Harian X