Khamis, 18 Julai 2019 | 7:30pm
KETUA Pengarah Alam Sekitar, Norlin Jaafar pada sidang media di Pejabat JAS Johor, hari ini. - Foto Hairul Anuar Rahim

Ganjaran sehingga RM5,000 untuk pemberi maklumat pencemaran

JOHOR BAHRU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan memberikan ganjaran kepada individu yang menyalurkan maklumat berhubung pencemaran alam sekitar terutama di Pasir Gudang.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Norlin Jaafar, berkata selain ganjaran sehingga RM5,000, identiti pemberi maklumat berkenaan juga akan dilindungi JAS.

“Pemberi maklumat sahih akan diberi ganjaran dan identiti pemberi maklumat itu akan dilindungi seperti mana yang diperuntukkan dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Mengikut prosedur operasi standard, ganjaran sehingga RM5,000 akan diberikan kepada pemberi maklumat mengikut keadaan tertentu,” katanya pada sidang media di Pejabat JAS Johor di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Kanan (Operasi) JAS, Mohd Rashdan Topa dan Pengarah JAS Johor, Wan Abdul Latiff Wan Jaafar.

Dalam perkembangan berasingan, Wan Abdul Latiff berkata, JAS sudah mengenal pasti tiga kilang di Pasir Gudang yang disyaki beroperasi secara haram dan tindakan undang-undang akan diambil segera.

“Tiga kilang ini dikesan hasil operasi bersepadu JAS bersama Pejabat Tanah dan Galian (PBT), Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) serta agensi berkaitan dan kita ambil tindakan undang-undang mengikut akta di bawah agensi masing-masing yang terbabit.

“Semua premis haram itu adalah kilang kitar semula barangan terpakai lusuh atau plastik, kilang besi dan kilang pengurusan sisa pepejal,” tambahnya.

Wan Abdul Latiff berkata, berdasarkan rekod awal, terdapat 18 kilang haram beroperasi di kawasan berkenaan dan pihaknya akan meneruskan operasi bersepadu untuk membuat pemeriksaan.

“Rekod awal diterima daripada PTG dan Pejabat Daerah, ada 18 kilang haram di Pasir Gudang. Kita sudah pergi (periksa) tiga dan akan pergi juga di premis lain yang diberitahu.

“Pada masa sama, PTG akan mengambil tindakan mereka ke atas kilang haram yang beroperasi di atas tanah kerajaan termasuk rizab sungai, manakala MPPG akan mengambil tindakan atas kesalahan beroperasi tanpa lesen,” katanya.

203 dibaca
Berita Harian X