Selasa, 23 Julai 2019 | 10:11am
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. - Foto Hafiz Sohaimi

Tujuan video lucah supaya saya singkir individu disasar - Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengeluarkan kenyataan berhubung isu video lucah yang diviralkan yang menurutnya jelas dibuat dan disebarkan untuk tujuan politik.

Menerusi hantaran terbaharunya dalam blog beliau chedet.cc, Perdana Menteri berkata, video itu dibuat khusus untuk menghalang kejayaan politik individu tertentu.

"Tindakan yang diharap menyusul tayangan (video lucah) ini ialah penyingkiran individu yang disasar. Tindakan ini boleh diambil oleh saya kerana saya berkuasa," katanya.

Dr Mahathir berkata, catatan terbaru itu sebagai menjawab soalan yang sering ditanya kepadanya berhubung video lucah yang diviralkan.

Tanpa merujuk kepada pihak tertentu, Perdana Menteri menegaskan, apabila beliau mengambil tindakan berhubung video yang tersebar itu maka berjayalah pihak yang merancang perbuatan jahat berkenaan.

"Agama saya melarang sengaja mengintip mencari keburukan orang. Apa yang dilakukan lebih buruk dari mengintip.

"Saya tidak sanggup diperalatkan. Jauh sekali oleh perancang yang berniat jahat dan mengguna politik kotor," katanya.

Beliau juga menjelaskan oleh kerana isu berkenaan adalah masalah politik ia akan ditangani sebagai isu politik.

“Ini bukan soal moral. Ini adalah masalah politik. Ia akan ditangani sebagai isu politik,” katanya.


hantaran terbaharunya dalam blog Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini di http://chedet.cc/?p=2953

8178 dibaca
Berita Harian X