Selasa, 23 Julai 2019 | 12:36pm
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir pada perbicaraan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Hafiz Sohaimi

Peguam Najib tarik rayuan gugurkan pertuduhan SRC

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak hari ini menarik balik rayuan bagi menggugurkan tiga tuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Rayuan di sini.

Panel Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli membenarkan penarikan terbabit selepas berpuas hati dengan penjelasan pihak pembelaan.

Peguam, Muhamad Farhan Muhamad Shafee, berkata pihaknya membuat keputusan itu berikutan kes berasingan SRC International yang membabitkan tujuh tuduhan sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Rayuan ini difailkan sebelum perbicaraan bermula (di Mahkamah Tinggi) maka kami beranggapan adalah wajar untuk menarik rayuan. Jika ada keperluan lain, kami akan failkan semula,” katanya yang ditemui di Kompleks Kehakiman Putrajaya di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Izzat Fauzan, memaklumkan pihaknya tidak membantah permohonan terbabit.

Pada 8 Februari lalu, Najib didakwa atas tiga tuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang hasil aktiviti haram sebanyak RM27 juta ke dalam akaun AmPrivate Banking miliknya.

Beliau didakwa melakukan semua perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan di sini, pada 8 Julai 2014.

Najib didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(a), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Pada Julai dan Ogos tahun lalu, Najib, 66, di dakwa tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Ahli Parlimen Pekan itu, dituduh melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan dan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 10 Februari 2015.

1043 dibaca
Berita Harian X