Khamis, 25 Julai 2019 | 9:25pm
Al-Sultan Abdullah membaca Yasin pada Majlis Bacaan Yasin, Doa Selamat dan Solat Hajat sempena istiadat pertabalan baginda di Masjid Negara, malam ini. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Al-Sultan Abdullah membaca Yasin pada Majlis Bacaan Yasin, Doa Selamat dan Solat Hajat sempena istiadat pertabalan baginda di Masjid Negara, malam ini. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Agong hadiri Majlis Bacaan Yassin, Solat Hajat dan Doa Selamat di Masjid Negara

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sebentar tadi berkenan menghadiri Majlis Bacaan Yasin, Doa Selamat dan Solat Hajat sempena istiadat pertabalan baginda di Masjid Negara di sini.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar, turut berkenan berangkat ke majlis itu.

Ketibaan baginda berdua disambut oleh Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Majlis berkenaan dipimpin Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Sheikh Ismail Muhammad, yang dimulakan dengan solat Maghrib diikuti solat hajat, bacaan Yasin, tahlil, doa selamat dan solat Isyak.

Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Al-Sultan Abdullah menunaikan solat Maghrib ketika hadir ke Majlis Bacaan Yasin, Doa Selamat dan Solat Hajat sempena istiadat pertabalan baginda di Masjid Negara, malam ini. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Dzulkefly (kanan) bersama Anwar (tiga dari kanan) turut hadir ke Majlis Bacaan Yasin, Doa Selamat dan Solat Hajat di Masjid Negara, malam ini. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Dzulkefly (kanan) bersama Anwar (tiga dari kanan) turut hadir ke Majlis Bacaan Yasin, Doa Selamat dan Solat Hajat di Masjid Negara, malam ini. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Majlis itu adalah untuk memohon kesejahteraan dan kesihatan baginda berdua untuk memerintah negara selama tempoh lima tahun dan memohon kesejahteraan dan kesihatan seluruh rakyat Malaysia.

Ini kali pertama baginda menghadiri majlis bacaan Yasin, solat hajat dan tahlil di Masjid Negara sejak melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 pada 31 Januari lalu.

Selepas selesai majlis berkenaan, baginda berdua berangkat ke majlis santapan malam bersama jemaah dan tetamu lain.

Al-Sultan Abdullah akan ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 sempena Istiadat Pertabalan di Balairung Seri Istana Negara pada Selasa ini, diikuti Majlis Santapan Diraja keesokan harinya di Dewan Santapan Utama Istana Negara.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X