Khamis, 25 Julai 2019 | 9:54pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong. - NSTP/Malai Rosmah Tuah

Dewan Negara lulus pindaan Perlembagaan turunkan umur mengundi kepada 18 tahun

KUALA LUMPUR: Selepas 10 hari Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan di Dewan Rakyat, ia diluluskan di Dewan Negara hari ini dengan majoriti dua pertiga.

Dengan kelulusan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan ini, pilihan raya pada masa hadapan akan menyaksikan pengundi berumur 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon berbanding umur 21 tahun sebelum ini, selain pendaftaran pengundi akan dilakukan secara automatik.

Pindaan berkenaan memperoleh sokongan 47 daripada 68 ahli Dewan Negara iaitu melebihi dua pertiga undian majoriti yang diperlukan, selepas 24 senator mengambil bahagian dalam sesi perbahasan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong ketika membentangkan RUU itu, berkata pindaan itu selaras dengan amalan demokrasi dunia yang mana banyak negara maju seperti United Kingdom dan Jerman telah menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

“Berikutan perkembangan ini, belia di Malaysia terdorong untuk turut diberi hak mengundi seawal usia 18 tahun, langkah ini bertujuan memberi peluang, ruang dan suara kepada mereka untuk sama-sama berganding bahu mencorak demokrasi negara melalui pilihan raya,” katanya.

Vui Keong ketika menggulung perbahasan usul itu bagaimanapun berkata, pelaksanaan tindakan itu memerlukan satu perancangan komprehensif yang menuntut komitmen pelbagai agensi kerajaan, swasta, parti politik, dan badan bukan kerajaan untuk menyumbang idea dalam merangka polisi dan program yang menyokong pelan tindakan ini.

Beliau berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga akan membuat program libat urus secara berterusan dalam memastikan golongan sasaran mendapat pendedahan dan memahami sistem demokrasi negara serta kepentingan menunaikan tanggungjawab mengundi.

Beliau turut memberi komitmen untuk mengkaji sistem undi secara dalam talian (e-voting) yang dicadangkan beberapa senator bagi memudahkan sistem pengundian berikutan pertambahan pengundi susulan pindaan itu.

Bercakap pada sidang media selepas itu, Vui Keong berkata pindaan itu menjadi perkara signifikan dalam landskap politik negara dan melahirkan penghargaan kepada kesemua 47 senator yang mengundi biarpun kesal kerana 20 senator tidak hadir ketika mengundi.

Untuk tindakan lanjut selepas ini, beliau sekali lagi berkata bahawa kerajaan akan membentangkan pindaan kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5), Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 di Dewan Rakyat, Oktober depan.

“Jadi pening kepala mula dirasai oleh SPR, kita akan mula berusaha bagi memastikan semua mekanisme (berada dalam trek yang betul), memastikan pilihan raya yang bersih dan adil dilaksanakan bagi pilihan raya umum akan datang,” katanya. - BERNAMA

188 dibaca
Berita Harian X