Jumaat, 26 Julai 2019 | 11:00am

Al-Sultan Abdullah tawaduk, pandang tinggi jasa 'tok guru'

PEKAN: Setiap kali bersua dengan Datuk Abd Mutalib Mohd Ali, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, tidak segan silu merujuk beliau sebagai tok guru.

“Ini tok guru saya.” - Demikian ungkapan biasa Al-Sultan Abdullah. Ia memberi gambaran baginda sangat menghormati dan memandang tinggi Bekas Timbalan Yang Dipertua Pertama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) berusia 87 tahun itu sebagai guru, walaupun sudah bergelar Yang di-Pertuan Agong.

Bukan sekadar guru agama, Abd Mutalib turut menjadi rakan ‘muzakarah’ baginda ketika membincangkan ilmu berkaitan Islam khususnya antara 1991 hingga 2000.

Anak kelahiran Kampung Lubuk Paku di Maran itu, mengakui Al-Sultan Abdullah mempunyai minat mendalam serta gemar mendalami ilmu termasuk berkaitan Islam, malah sering mengutarakan soalan berkaitan hukum hakam.

"Lazimnya kami akan berjumpa setiap kali Tuanku bersemayam di istana di Pekan dan meluangkan masa antara setengah jam hingga sejam setiap kali berbincang. Tuanku memang menunjukkan minat tinggi terhadap agama.

"Tuanku juga sangat berminat dengan tulisan jawi. Kesannya dapat dilihat sekarang apabila majlis perbandaran dan daerah di Pahang dititah menggunakan tulisan jawi.

“Tuanku meminatinya kerana suatu ketika dahulu semua urusan termasuk dengan British menggunakan tulisan jawi," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Ketapang Tengah di sini.


Abd Mutalib menunjukkan gambar kenangan bersama Agong. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Kisah pertemuan Al-Sultan Abdullah dengan Abd Mutalib di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah di Pekan pada 16 Januari lalu tular, menyaksikan baginda mengenepikan protokol semata-mata kerana rasa hormat kepada guru agamanya itu.

Baginda menolak kerusi roda dinaiki Abd Mutalib ke khemah jamuan walaupun mempunyai kenderaan khas dan berulang kali mengungkapkan “ini tok guru saya” sambil memperkenalkan Abd Mutalib kepada khalayak.

Abd Mutalib berkata, sepanjang mengenali Al-Sultan Abdullah, baginda memang seorang yang tawaduk serta sanggup mengenepikan protokol untuk bersama rakyat.

“Bagi saya itulah keistimewaan yang ada pada diri Tuanku dan ia hasil didikan agama diterima sejak kecil sehingga dewasa.

"Ia sudah tentu memberi kesan kepada cara pemerintahan baginda yang mesra dengan masyarakat dan saya harap kasih sayang kepada rakyat tidak berubah dan Tuanku akan terus mengambil berat hal ehwal kebajikan rakyat," katanya.


Hasimah memegang gambar Al-Sultan Abdullah semasa kecil. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Hasimah menunjukkan istana Mangga Tunggal yang pernah didiaminya ketika mengasuh Al-Sultan Abdullah. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Istana Mangga Tunggal yang pernah didiami Al-Sultan Abdullah. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Bangga lihat Al-Sultan Abdullah disayangi rakyat

Pengasuh baginda pula, Hasimah Mad Ali, 86, melahirkan rasa syukur kerana dipanjangkan usia untuk melihat individu dijaganya sejak berusia tiga hari lagi, ditabal menjadi pemerintah utama negara.

"Bangga melihatnya menjadi pemerintah disayangi segenap lapisan masyarakat. Tuanku memang menghormati orang dan saya sendiri masih diingati sehingga kini walaupun hanya menjaga baginda sehingga berusia tujuh tahun.

"Sepanjang mengasuh Al-Sultan Abdullah, Tuanku memang kanak-kanak yang baik dan tidak nakal, cuma ada sekali baginda terjatuh dari pokok berhampiran Istana Mangga Tunggal. Baginda juga suka gambarnya dirakam apabila bersiar-siar," katanya yang disapa Makcik Simah oleh Al-Sultan Abdullah.

Berita Harian X