Jumaat, 26 Julai 2019 | 3:36pm
PENGERUSI Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Simposium Ekonomi Malaysia ‘Ekonomi Malaysia: Kini dan Masa Hadapan’ di Parlimen, hari ini. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Semua orang miskin diberi bantuan

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan mengubah Perlembagaan termasuk mengenai keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera, sebaliknya mahu memastikan semua kaum yang miskin turut diberi perhatian.

Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata dasar ekonomi melalui tindakan afirmatif perlu dilaksanakan berasaskan keperluan seluruh rakyat.

Beliau yang juga Presiden PKR, meminta mana-mana pihak tidak meminta Dasar Ekonomi Baharu (DEB) dibatalkan sedangkan tiada langkah berkesan dijalankan bagi membantu rakyat miskin.

“Kita bukan mahu mempersoalkan apa yang ada dalam Perlembagaan termasuk keistimewaan dan kuota, tetapi nak tambahan dasar sebab persefahaman selepas 61 tahun kemerdekaan Malaysia, kita sedar semua rakyat iaitu Melayu, Cina, India dan Kadazan kena dilihat sebagai satu komuniti dengan kesaksamaan hak dan keistimewaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Simposium Ekonomi Malaysia ‘Ekonomi Malaysia: Kini dan Masa Hadapan’ di Parlimen, hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof dan dan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Anwar berkata, jika semua pihak mengadakan program yang mengangkat martabat dan darjat orang miskin di desa dengan bersungguh-sungguh, isu kuota itu menjadi perkara kecil.

“Maknanya, jangan kita meminta dilebur atau dibatalkan DEB, kemudian kita tidak berbuat apa-apa secara berkesan untuk membantu rakyat miskin atau terpinggir daripada pelbagai kaum dengan majoritinya orang Melayu.

“Sesetengah orang suka mendengar kita bercakap mengenai pembatalan DEB, tetapi tiada komitmen tegas dalam dasar yang berkesan untuk membantu rakyat kerana masih ada orang Melayu miskin dan kelompok kecil India, Cina dan di Sabah serta Sarawak,” katanya.

Anwar berkata, masyarakat perlu membezakan antara DEB dengan peruntukan Perlembagaan dan beliau sendiri tidak akan mempersoalkan peruntukan keistimewaan orang Melayu.

Bagaimanapun, katanya, pendekatan menyeluruh perlu dijalankan kerana selain orang Melayu, ada juga orang Cina, India dan masyarakat lain yang miskin.

“Jika kuota mahu dibatalkan, kerajaan perlu memberi jaminan supaya anak masyarakat di kampung yang tidak boleh bersaing dengan di bandar, diberi ruang dan pada masa sama, anak Cina yang miskin yang cerdik juga perlu dibantu,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tetap meneruskan dasar mengangkat kedudukan orang Melayu dan Bumiputera di pedalaman.

Sementara itu, Anwar berkata, pihaknya meneruskan lantikan politik dalam syarikat milik kerajaan (GLC) dengan menegaskan ia dibuat berdasarkan kelayakan mereka.

Katanya, bukan semua ahli politik terbabit rasuah, sebaliknya ia membabitkan semua pihak termasuk di sektor swasta.

“Bukan semua orang politik tidak berwibawa atau ‘korup’. Kalau dia layak dan berwibawa, kita akan pertimbangkan. Kita juga tidak menganggap semua orang bukan politik tidak ‘korup’.

“Negara ini menyaksikan rasuah berlaku dalam kalangan orang politik, penjawat awam dan sektor. Jadi kita harus banteras tanpa mengira kedudukan mereka,” katanya.

Berita Harian X