Jumaat, 26 Julai 2019 | 4:30pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto Rosela Ismail

Pertumbuhan ekonomi mampan pastikan sasaran kemakmuran bersama tercapai

PUTRAJAYA: Pertumbuhan ekonomi mampan dapat memastikan kerajaan mencapai sasaran ekonomi kemakmuran bersama, selepas kebimbangan berlaku deflasi reda, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Guan Eng berkata, ia berikutan kadar inflasi Malaysia untuk Jun 2019 meningkat kepada 1.5 peratus tahun ke tahun daripada 0.2 peratus pada Mei 2019.

Katanya, peningkatan dalam Indeks Harga Pengguna (IHP) untuk Jun 2019 sebanyak 1.5 peratus juga disebabkan perubahan dalam rejim percukaian.

“Pada Jun 2018, kadar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sudah dikadarsifarkan untuk memenuhi janji kerajaan menambah baik kesejahteraan ekonomi rakyat dan diganti dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

“Meskipun terdapat peningkatan harga pada Jun, kadar inflasi untuk enam bulan pertama 2019 masih kekal 0.2 peratus tahun ke tahun.

“Ini menjawab kebimbangan kemungkinan deflasi apabila indeks harga pengguna menurun sedikit 0.7 dan 0.4 peratus tahun ke tahun masing-masing untuk Januari dan Februari 2019, sebelum meningkat 0.2 peratus setiap bulan untuk Mac, April dan Mei,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Guan Eng berkata, selain penggantian GST dengan SST, pengurangan paras siling harga runcit untuk RON95 daripada RM2.20 seliter kepada RM2.08 seliter turut membantu mengurangkan kadar inflasi dan meringankan beban kos sara hidup dihadapi rakyat.

Beliau berkata, kadar inflasi yang secara amnya rendah dan stabil berlaku ketika ekonomi sedang berkembang mapan.

“Kadar pertumbuhan indeks pertumbuhan perindustrian Malaysia berkembang lebih daripada konsensus pasaran untuk bulan ketiga secara berturut-turut sedangkan pada Mei 2019, ia berkembang empat peratus tahun ke tahun mengatasi unjuran pasaran sebanyak 3.5 peratus seperti dilaporkan Bloomberg.

“Eksport untuk Mei 2019 meningkat 2.5 peratus tahun ke tahun, juga melebihi jangkaan pasaran.

“Jualan borong dan runcit meningkat 5.6 peratus dan 8.2 peratus tahun ke tahun masing-masing untuk tempoh Januari-Mei 2019,” katanya.

Beliau berkata, jualan kenderaan untuk lima bulan pertama 2019 meningkat 13 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, menunjukkan terdapat pertumbuhan permintaan domestik yang sihat untuk separuh pertama tahun ini.

“Semua petunjuk ini mengisyaratkan pertumbuhan suku kedua Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah menggalakkan, selepas ekonomi Malaysia berkembang mampan sebanyak 4.5 peratus tahun ke tahun untuk suku pertama 2019.

“Kerajaan positif mengenai prospek perkembangan ekonomi yang mampan untuk suku kedua. Pada masa sama, Bank Dunia mengunjurkan KDNK Malaysia akan berkembang 4.6 peratus pada 2019.

“Kerajaan akan terus mengutamakan perkembangan ekonomi dan mempertimbangkan belanjawan pengembangan demi memastikan kesejahteraan ekonomi rakyat dan mencapai sasaran ekonomi iaitu kemakmuran bersama,” katanya.

Berita Harian X