Sabtu, 27 Julai 2019 | 11:17pm
Ahmad Safiuddin Ahmad Razak (dua dari kanan) dan Nurul Erwani Zaidi bersama Ainul dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi esok waktu Malaysia. - Foto TV3

Ainul Mardhiah pulang

LONDON: Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, bayi berusia 11 bulan yang selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan lidahnya di sini, pulang ke tanah air hari ini.

Bayi berkenaan bersama ibu bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24 dan Nurul Erwani Zaidi, 23, dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi esok waktu Malaysia.

Ainul Mardhiah berada di sini selama dua bulan dua hari sejak Ahmad Safiuddin dan Nurul Erwani membawanya ke London pada 25 Mei lalu untuk menjalani pembedahan kanser mulut ‘Germ Cell Tumor’.


Nurul Erwani Zaidi (kanan) sedang mengurus Ainul sebelum berlepas. - Foto TV3

Ahmad Safiuddin mengakui beliau dan isteri tidak sabar pulang ke Malaysia, memandangkan sudah begitu lama berjauhan daripada ibu bapa mereka.

Katanya, pengalaman yang dilalui amat bermakna dan satu pengajaran yang mematangkan.

“Saya amat bersyukur kepada Allah kerana terus memberi peluang kepada kami berdua untuk kekal menjadi ibu dan ayah kepada Ainul (Mardhiah),” katanya yang merekodkan penulisan dan klip video perkembangan anaknya itu setiap hari di London.

Penerbangan pulang Ainul Mardhiah dan ibu bapanya ditemani doktor sukarelawan dari Malaysia, iaitu Perunding Anaesthesiologist dan Pakar Penjagaan Kritikal Hospital Pakar Avisena, Kol (B) Datuk Dr Jaseemudeen Abu Baker serta Perunding Anaesthesiologist dan Pakar Perubatan Penjagaan Kritikal Pusat Perubatan Subang Jaya, Dr Gunalan Arumugam.

Antara yang turut serta menghantar bayi itu pulang dari London termasuk pakar bedah warga Malaysia di United Kingdom (UK), Dr Nur Amalina Che Bakri; pakar bius, Dr Fahja Ismail dan Dr Najmiah Ahmad; pensyarah di Universiti London, Dr Sharifah Faridah Syed Alwi dan beberapa rakan mereka.

Mereka meninggalkan Hospital Great Ormond Street untuk menaiki pesawat yang berlepas jam 11 pagi waktu tempatan (6 petang tadi waktu Malaysia) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow ke Malaysia.

Ainul Mardhiah dijadualkan pulang ke Malaysia pada 8 Julai lalu namun terpaksa dibatalkan pada saat akhir kerana bayi itu mengalami jangkitan.

Ketumbuhan seberat 200 gram di mulut bayi itu berjaya dibuang pada 10 Jun lalu selepas menjalani pembedahan selama lima jam di hospital itu.

Pembedahan itu dilaksanakan oleh sekumpulan pakar bedah dan bius, diterajui Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway.

Selepas pembedahan berkenaan, Ainul Mardhiah yang awalnya memiliki berat 2.5 kilogram (kg) ketika tiba di London menunjukkan perkembangan menakjubkan dan beratnya bertambah secara konsisten sehingga 3.1kg.

Penderitaan Ainul Mardhiah sebelum ini mendapat perhatian orang ramai yang menyumbang sehingga RM4 juta bagi membolehkan bayi itu diterbangkan ke London untuk menjalani pembedahan.

Berita Harian X