Isnin, 29 Julai 2019 | 2:39pm
TIMBALAN Ketua Pegawai Eksekutif (Teknikal) Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Dr Mohd Pauze Mohamad Taha. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
TIMBALAN Ketua Pegawai Eksekutif (Teknikal) Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Dr Mohd Pauze Mohamad Taha. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

'Dalang tapak pelupusan haram licik'

KUALA LUMPUR: Kewujudan tapak pelupusan sampah secara haram sehingga mengundang kesan negatif terhadap sumber air bagi kegunaan domestik berpunca daripada sikap kontraktor yang cenderung mengambil jalan singkat demi mengaut keuntungan mudah.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Teknikal) Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Dr Mohd Pauze Mohamad Taha, ketika mendedahkan perkara itu berkata, majoriti bahan yang dibuang di tapak pelupusan sampah haram terdiri daripada sisa pembinaan dan perkilangan.

Katanya, kegiatan tidak bertanggungjawab didalangi kontraktor pembersihan yang diupah pengurusan kilang dan tapak pembinaan itu dikesan semakin berani sehingga langsung tidak menghiraukan aktiviti penguatkuasaan dijalankan SWCorp.

“Hampir setiap minggu kita tangkap orang yang melakukan pembuangan sampah secara haram, tetapi untuk memberkas dalang kegiatan ini sebenarnya amat sukar kerana wujud proses pembuktian dan pendakwaan tertentu.

“Kita perlu berkas mereka ketika lori yang mengangkut sampah ini dibuang di tapak pelupusan haram bagi memastikan tindakan penguatkuasaan selanjutnya berupaya diambil, selain mengenakan kompaun mengikut perundangan sedia ada.

“Sebenarnya, kegiatan tidak bertanggungjawab seperti ini berbalik kepada sikap kita yang lebih mementingkan keuntungan sehingga sanggup mengambil jalan mudah, tanpa menghiraukan kesannya kepada alam sekitar,” katanya kepada pemberita ketika diundang sebagai panel forum ‘Sisa kepada Kekayaan: Meneroka Peluang Baharu’ di sini, hari ini.

Tiga lagi panel undangan pada forum anjuran Akademi Sains Malaysia (ASM) bertempat di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) ialah Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin; Ketua Pusat Penyelidikan Pengurusan Sisa Buangan dari Universiti Malaya, Prof Dr P Agamuthu dan Timbalan Pengerusi Persatuan Syarikat Perunding Alam Sekitar Malaysia (AECCOM), Dr Theng Lee Chong.

Berdasarkan risikan dan penyiasatan, Mohd Pauze berkata, pengurusan pemaju tapak pembinaan dan perkilangan lazimnya mengupah kontraktor pembersihan bagi mengendalikan pembuangan sisa ke lokasi pelupusan yang disediakan.

Bagaimanapun, katanya, segelintir kontraktor yang lebih mementingkan keuntungan akan memberi arahan kepada pemandu lori mereka untuk membuang sisa berkenaan di tapak pelupusan sampah secara haram.

“Hal ini kerana jika kontraktor berkenaan mengikut prosedur dengan membuang sisa daripada lokasi pembinaan atau perkilangan di tapak pelupusan sampah disediakan, mereka perlu membayar caj pembuangan.

“Demi menjimatkan kos, mereka (kontraktor) memilih untuk membuang semua sampah di tapak pelupusan haram yang lazimnya terdiri daripada tanah persendirian, sungai atau tempat tersembunyi bagi mengelak dikesan pihak penguat kuasa.

“Walaupun dalang yang membuang sampah di tapak pelupusan haram ini gagal diberkas, SWCorp masih perlu menguruskan kerja pembersihan kerana orang ramai akan merungut mengenai isu bau busuk, malah mengundang masalah pencemaran.

“Di Kuala Lumpur saja, kita membelanjakan hampir RM200,000 sebulan untuk melakukan kerja pembersihan sampah di tapak pelupusan haram dan kos ini ditanggung oleh kerajaan,” katanya.

Berita Harian X