Selasa, 30 Julai 2019 | 1:52am
MURID hadir awal terpaksa menunggu di pintu masuk sekolah, di Tebobon, Manggatal. - Foto Malai Rosmah Tuah

EKSKLUSIF: Persekitaran sunyi undang risiko

KUALA LUMPUR: Keadaan gelap atau kelam kerana kurang pencahayaan di kawasan laluan ke sekolah, boleh menyebabkan pelajar yang keluar awal untuk persekolahan sesi pagi menjadi mangsa jenayah.

Keadaan bertambah berisiko jika kiri dan kanan laluan pula dipenuhi semak atau belukar, persekitaran sunyi atau terlindung daripada penglihatan umum kerana terletak di celah-celah bangunan atau deretan kediaman.

Tinjauan BH di seluruh negara mendapati persekitaran sepanjang laluan ke sesetengah sekolah sesi pagi bukan sahaja gelap atau suram akibat kurang pencahayaan, tetapi turut memerlukan murid melalui lorong di celah-celah bangunan.

Perkembangan semasa menyaksikan ramai murid perlu keluar lebih awal untuk ke sekolah sama ada menaiki kenderaan bersama ibu atau bapa dalam perjalanan ke tempat kerja atau bas sekolah bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Walaupun kelas hanya bermula antara jam 7.30 hingga 7.45 pagi atau murid diperlukan berada dalam kawasan sekolah menjelang jam 7.20 pagi, ramai keluar rumah atau dihantar lebih awal, termasuk berbuat demikian seawal jam 6 pagi lagi.

Tinjauan BH di Shah Alam mendapati laluan sunyi serta kurang pencahayaan, lorong di sebalik bangunan atau deretan rumah tersorok serta perlu melintas jalan sibuk, antara risiko yang boleh mengancam nyawa segelintir murid untuk ke sekolah.

Walaupun ada ibu bapa menghantar sendiri anak, ada juga berjalan kaki seawal jam 6.30 pagi lagi. Tinjauan bermula jam 6.40 pagi di sekitar Shah Alam, Setia Alam dan Klang mendapati pelbagai situasi terpaksa dilalui anak-anak untuk ke sekolah.

Seorang ibu, Rashefa Abdul Rashid, 40, berkata biarpun ada pengawal menjaga dan mengawasi pelajar di sekolah anaknya di Setia Alam setiap pagi, tengah hari atau petang, murid yang berjalan kaki turut melalui kawasan taman rekreasi yang sunyi.

“Pada masa ini, kita tak boleh cakap tempat itu selamat 100 peratus kerana setiap ceruk di kawasan ini, ada projek pembinaan dan kita tidak boleh percaya sesiapa,” katanya menyarankan pihak berkuasa mempertingkatkan pengawasan keselamatan di situ.

Seorang lagi waris murid, Zairoy Zi Zainal, 35, bimbang keselamatan pelajar dan orang awam kerana ada laluan agak gelap untuk ke sekolah terbabit, terutama di satu selekoh berdekatan pondok pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang tiada lampu jalan.

“Sekolah ini ada dua pintu masuk, A dan C. Saya selalu guna pintu C berhampiran jalan yang berhubung dengan jalan utama ke Bukit Raja, Klang. Jarak antara pintu pagar A dan C kira-kira 500 meter.

“Memang ada beberapa tempat gelap di laluan itu, terutama satu selekoh berdekatan pondok pencawang TNB. Di situ memang tiada lampu, mungkin agak bahaya sikit,” katanya.

Di Muar, tinjauan BH dari jam 6 hingga 7.30 pagi di beberapa sekolah, mendapati lampu jalan yang ada terlalu malap ketika ramai murid mahu ke sekolah dan orang ramai keluar untuk ke tempat kerja.

SEORANG murid melalui terowong berhampiran kompleks Daya Bumi, Kuala Lumpur. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Murid Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Perak, Muhd Zukri Hassan, 17, yang biasa ke sekolah antara jam 6.45 hingga 7 pagi, mengakui laluan ke sekolahnya agak gelap kerana lampu jalan malap.

“Pada waktu sama, lalu lintas mulai sibuk kerana ramai sudah keluar bekerja, murid juga ramai berjalan kaki dan melintas jalan. Kalau keadaan ini berterusan, saya bimbang berlaku kemalangan atau kejadian lain yang tidak diingini,” katanya.

Rakannya, Hilman Danial Mansor, 17, berkata lampu jalan berhampiran sekolah itu tidak mampu memberikan pencahayaan yang sepatutnya sehingga suasana menjelang sesi persekolahan pagi agak gelap.

Penduduk setempat, Shamsudin Jaffar, 47, berkata masalah pencahayaan malap itu sudah berlarutan sejak 10 tahun lalu, ditambah pula kedudukan pokok besar berdekatan kawasan sekolah menyebabkan kadar pencahayaan merosot dan suasana bertambah gelap.

Di Kuala Terengganu, tinjauan di SK Undang mendapati, laluan dalam jarak 300 meter ke sekolah terbabit agak gelap, sunyi dan sempit yang boleh mengundang bahaya kepada murid terutama yang berjalan kaki dan menunggang basikal ke sekolah pada waktu pagi.

Namun, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin, berkata pihaknya tidak pernah menerima aduan daripada pihak sekolah atau rungutan daripada ibu bapa berhubung perkara ini.

Di Seremban, seorang ibu, Siti Fatimah Zainol, 31, dari Senawang, berkata walaupun kebanyakan lokasi sekolah rendah dan menengah di kawasan itu dianggap selamat, ia bukan jaminan ia bebas jenayah.

“Ada laluan ke sekolah terlindung oleh pokok besar tidak diselenggara, mendedahkan pelajar yang berjalan seorang diri kepada jenayah. Jadi, pihak berkuasa perlu tambah lampu jalan di kawasan strategik laluan ke sekolah supaya keselamatan pelajar terjamin,” katanya.

PELAJAR kelihatan berjalan kaki pada awal pagi dalam suasana gelap berikutan hanya ada satu lampu jalan yang berfungsi, di Kampung Ratau, Tebobon, Manggatal. - Foto Malai Rosmah Tuah

Tinjauan sekitar Putrajaya, Kota Bharu, Jerantut, Alor Setar dan Sungai Petani bagaimanapun mendapati majoriti murid dihantar ibu bapa atau menggunakan kenderaan sendiri ke sekolah yang dekat dengan rumah ketika hari sudah cerah.

Usah tambah senarai korban

Audrey Melissa Bathinathan, Nurul Hanis Kamil dan Haserawati Saridi mungkin sekadar nama yang tidak bermakna apa-apa kepada sesetengah daripada kita.

Namun, bagi yang masih ingat, mereka adalah mangsa jenayah kejam, diserang termasuk secara seksual sebelum dibunuh sama ada ketika dalam perjalanan pergi atau pulang dari sekolah.

Audrey Melissa, murid Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Methodist di Jalan Cenderasari, di sini, ditemui mati pada jam 7 pagi, 18 Mac 1999 selepas dirogol dan dijerut lehernya.

Nurul Hanis, murid Tingkatan Empat dari Taman Koperasi Risda, Kampung Tersusun di Serkam Darat, Merlimau, Melaka pula dijumpai mati dalam belukar berhampiran rumahnya pada jam 7 malam, 3 Julai 2001.

Dalam kes Haserawati, murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Tebobon, Manggatal itu dirogol sebelum ditikam, dipercayai antara jam 7 hingga 8 pagi pada 8 Januari 2004 ketika berjalan kaki ke sekolah dari rumahnya di Kampung Ratau, Tebobon.

Mereka menjadi sasaran kerana wujud peluang untuk penjenayah, sama ada berada di lokasi terlindung atau tersembunyi daripada pandangan awam atau kerana persekitaran pagi atau menjelang malam ketika itu gelap atau akibat pencahayaan suram.

BH baru-baru ini meninjau kembali lokasi mayat mendiang Audrey Melissa ditemui berhampiran terowong pejalan kaki sepanjang 269 meter menghubungkan Masjid Negara dan Kompleks Dayabumi di sini.

Terowong berkenaan pernah menjadi laluan utama murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Methodist di Jalan Cenderasari yang terletak kira-kira 100 meter dari situ, berulang-alik ke sekolah seperti dilakukan Audrey pada 17 Mac 1999 itu.

Tinjauan mendapati ia sudah berubah berbanding ketika tragedi menimpa pelajar malang itu yang menggemparkan seluruh negara. Ketika itu, terowong berkenaan dikatakan tempat gelandangan dan penagih dadah melepak.

Kini, laluan itu dan perjalanan sehingga ke sekolah berkenaan masih sunyi biarpun dipasang lampu. Hanya kelompok kecil menggunakan terowong berkenaan, sama ada untuk ke SMK Perempuan Methodist atau tempat kerja.

Dalam tinjauan BH selama sejam bermula jam 6.30 pagi, hanya seorang murid SMK Perempuan Methodist, Kiran Abdul Jabbar Shah Jahan, 15, dilihat menggunakan terowong itu dan dia mengakui laluan berkenaan memang sunyi pada waktu pagi.

“Pada tengah hari selepas tamat sesi persekolahan, meriahlah sikit. Setakat ini saya tidak pernah berdepan kejadian tidak diingini,” katanya yang menggunakan terowong itu sebagai laluan utama ke sekolah sejak tiga tahun lalu selepas turun dari bas di Kompleks Dayabumi.

“Saya juga tahu kes Audrey melalui majalah sekolah, tetapi saya sudah biasa guna terowong ini. Namun, jika nampak ada orang mencurigakan, saya akan berjalan lebih pantas,” katanya yang berulang-alik menaiki bas ke sekolah dari rumah di Jalan Ipoh.

Terowong dirasmi pada 2 Jun 2016 itu kini dilengkapi lima kamera litar terutup (CCTV) di pintu keluar masuk serta laluan bawah tanah, mempunyai dua cermin pemantul serta papan makluman memaklumkan ia ditutup jam 11 malam hingga 6 pagi setiap hari.

Di Sabah, tinjauan ke lokasi sekitar mayat Haserawati ditemui di kawasan semak lereng bukit tepi jalan tidak jauh dari sekolahnya, mendapati hanya ada satu lampu jalan di laluan ke sekolah itu, manakala kiri dan kanan jalan masih dipenuhi belukar serta semak-samun.

Ketika tinjauan pada kira-kira jam 5.40 pagi itu, kelihatan juga banyak anjing berkeliaran sebelum seorang murid dari Kampung Ratau dilihat berjalan seorang diri, namun lebih ramai dihantar ibu bapa dengan kereta atau bas sekolah.

Kedudukan jalan kampung yang jauh dari rumah penduduk menyebabkan sukar untuk menyedari apa yang berlaku di pertengahan perjalanan, sama seperti yang terjadi terhadap Haserawati, anak bongsu daripada enam beradik itu, 15 tahun lalu.

Berita Harian X