Selasa, 30 Julai 2019 | 3:30pm
Ainul Mardhiah dipantau di Unit Rawatan Rapi HKL. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Doktor terus pantau perkembangan Ainul Mardhiah

KUALA LUMPUR: Doktor akan terus memantau perkembangan kesihatan Ainul Mardhiah di Unit Penjagaan Rapi, Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini.

Bapa bayi berusia 11 bulan itu, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, berkata Ainul Mardhiah kini berada dalam keadaan yang sihat dan stabil.

Katanya, doktor masih belum dapat memastikan tempoh masa anaknya akan menjalani rawatan susulan di hospital berkenaan.

“Alhamdulillah, Ainul sihat dan stabil. Doktor kata tidak pasti sehingga bila Ainul akan dipantau di HKL,” katanya kepada BH, hari ini.

Ainul Mardhiah kini menjalani rawatan susulan di HKL, selepas dibawa pulang dari London, Ahad lalu.

Bayi itu dibawa ke London pada 25 Mei lalu untuk menjalani pembedahan kanser ‘Germ Cell Tumor’ di mulut.

Dia menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulut pada 10 Jun lalu di Hospital Great Ormond Street, London.

Pembedahan dilakukan sekumpulan pakar bedah dan bius, diterajui Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway.

Selepas pembedahan itu, Ainul Mardhiah yang awalnya memiliki berat 2.5 kilogram (kg) ketika tiba di London, menunjukkan perkembangan menakjubkan dan beratnya bertambah secara konsisten sehingga 3.1kg.

Berita Harian X