Rabu, 31 Julai 2019 | 3:57pm
BOON Chye (dua dari kiri) bersama Ketua Perkhidmatan Perubatan Nuklear Malaysia, Dr Ng Chen Siew (kiri) sedang melihat 'Isolater' merupakan peralatan mengesan penyakit Kanser selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Perubatan Nuklear di Avillion, Port Dickson. NSTP/Adzlan Sidek

KKM cadang wujudkan Jabatan Perubatan Nuklear di Sungai Petani

PORT DICKSON: Kementerian Kesihatan (KKM) bercadang mewujudkan Jabatan Perubatan Nuklear di Pusat Perubatan Kanser yang sedang dalam pembinaan di Sungai Petani, Kedah.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata pembinaan Pusat Perubatan Kanser yang membabitkan kos RM500 juta itu dijangka siap tiga tahun lagi.

Jika dilaksanakan, katanya, penubuhan Jabatan Perubatan Nuklear itu bakal menjadi yang ketujuh selepas perubatan nuklear diperkenalkan di negara ini pada 2002.

Beliau berkata, enam hospital sudah memiliki jabatan itu ialah Hospital Kuala Lumpur, Hospital Pulau Pinang, Institut Kanser Negara, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Hospital Umum Sarawak serta Hospital Sultanah Aminah di Johor.

“Dengan adanya pertambahan Jabatan Perubatan Nuklear di wilayah utara itu nanti, saya berharap pesakit yang menerima rawatan akan mendapat perkhidmatan lebih baik.

“Jabatan Perubatan Nuklear ini bukan hanya untuk kegunaan pesakit kanser tetapi juga boleh dimanfaatkan mereka yang menghidap penyakit jantung, buah pinggang dan masalah pada otak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perubatan Nuklear Peringkat Kebangsaan 2019, di sini, hari ini.

Sementara itu, Dr Boon Chye berkata, kementerian memperuntukkan kira-kira RM5 bilion untuk menaik taraf kemudahan di hospital sedia ada dan membina hospital baharu di seluruh negara.

Beliau berkata, hospital baharu sedang dalam pembinaan ialah di Pasir Gudang, Johor, dan Petra Jaya, Sarawak, dengan masing-masing membabitkan kos RM500 juta, serta Dungun (RM100 juta).

“Baki peruntukan itu akan digunakan bagi menaik taraf kemudahan di 12 hospital, selain rancangan membina beberapa lagi hospital di negara ini dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Berita Harian X