Rabu, 31 Julai 2019 | 8:28pm

Menghitung detik ulang tahun pertama Ainul Mardhiah

KUALA LUMPUR: Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin terus berada dalam keadaan yang sihat dan stabil dengan ibu bapanya menunggu detik merakam sambutan hari kelahiran pertama puteri sulung mereka itu dalam tempoh 13 hari lagi.

Ainul Mardhiah yang sebelum ini menjalani pembedahan di London untuk membuang ketumbuhan di mulutnya, kini berada di wad Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini.

Bayi itu masih menunggu pemeriksaan lanjut dan pengimejan di bahagian dada bagi mengetahui jika ada jangkitan kuman sebelum boleh dibenarkan pulang.

“Masa penerbangan pertama dari Malaysia ke London, Ainul pernah kena jangkitan kuman. Kami tak nak perkara ini berlaku lagi, sebab itu ambil keputusan untuk terus ke HKL sebaik tiba pada Ahad lalu,” kata ibunya Nurul Erwani Zaidi, 24, kepada BERNAMA ketika ditemui di hospital itu.

“Ainul dilahirkan pada 13 Ogos 2018, masih ada 13 hari sebelum Ainul genap satu tahun.

“Saya tidak akan memaksa Ainul untuk merangkak, meniarap atau bercakap seperti kanak-kanak lain kerana saya terima dia seadanya dan sanggup menunggu untuk melihatnya membesar seperti kanak-kanak lain.

“Saya sentiasa mendoakan dan berharap Ainul diberi kesempatan itu,” katanya.

Nurul Erwani yang tidak bekerja ketika ini, menumpukan sepenuh masa untuk menjaga Ainul di hospital secara bergilir dengan suaminya.

Suaminya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, masih bekerja selain menguruskan sebuah kedai runcit miliknya ‘Asar Halmart’ di Taman Desa Molek, Melaka.

Kedai menjual produk makanan dan minuman Muslim turut memasarkan produk atas nama anaknya iaitu ‘Ainul’s Popcorn’ bagi menambah pendapatan menanggung kos rawatan dan penjagaan serta masa depan Ainul Mardhiah.

Bayi itu yang menghidap kanser ‘Germ Cell Tumor’ tiba di London pada 25 Mei dan menjalani pembedahan selama lima jam di Hospital Great Ormond Street bagi membuang ketumbuhan seberat 200 gram pada 10 Jun.

Pembedahan dilakukan sekumpulan doktor pakar pelbagai bidang dengan pelatih pakar bedah Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri, bertanggungjawab membawa bayi itu serta ibu bapanya ke London bagi mendapatkan rawatan.

Kisah penderitaan Ainul Mardhiah mendapat perhatian umum apabila rakaman video bayi terbabit yang mengalami ketumbuhan pada bahagian mulut, tular di laman sosial media.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, turut menziarahi Ainul ketika berada di United Kingdom untuk lawatan rasmi selama tiga hari pada Jun lalu. – BERNAMA

AINUL Mardhiah Ahmad Safiuddin. - Foto Facebook Ahmad Safiuddin
Berita Harian X