Rabu, 31 Julai 2019 | 8:44pm
TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Mohamed Hanipa Maidin. - Foto Mohd Fadli Hamzah
TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Mohamed Hanipa Maidin. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Undang-undang sedia ada memadai tangani berita palsu

KUALA LUMPUR: Undang-undang sedia ada disifatkan memadai bagi menangani masalah penyebaran berita palsu.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Mohamed Hanipa Maidin, berkata belum ada cadangan mewujudkan undang-undang baharu menggantikan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang tidak diluluskan pemansuhannya oleh Dewan Negara tahun lalu.

“Setakat hari ini belum ada keputusan kerajaan sama ada akan mewujudkan semula akta baharu bersifat adil dan lengkap kerana buat masa ini kita mempunyai undang-undang mencukupi untuk menangani berita palsu,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Yong Wui Chung, yang bertanya adakah kerajaan akan mempertimbang semula untuk mewujudkan akta baharu bagi menangani penyebaran berita tidak benar yang bersifat lebih adil dan lengkap.

Sementara itu, Mohamed Hanipa berkata kerajaan perlu tempoh setahun jika mahu memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018.

“Perlu tunggu setahun jika hendak memansuhkan akta itu. Buat masa ini akta itu masih wujud tetapi tidak ada pendakwaan dibuat setakat ini,” katanya.

Pada September 2018, Dewan Negara menolak Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada Ogos tahun lalu.

Berita Harian X