Khamis, 1 Ogos 2019 | 3:27pm

Dokumentari kisah hidup Pak Lah disiar Sabtu

KUALA LUMPUR: Kisah suka duka Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi akan disiarkan menerusi sebuah dokumentari khas pada Sabtu ini sempena bulan kemerdekaan negara.

Dokumentari berjudul 'Legasi Negarawan: Tun Abdullah Ahmad Badawi' itu diterbitkan oleh Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (LEGASI) dengan kerjasama anak syarikat Media Prima Berhad, Primeworks Studios Sdn Bhd.

Pengerusi LEGASI, Datuk Jefridin Atan, berkata dokumentari itu memaparkan suka duka kehidupan dan 79 tahun perjalanan hidup Abdullah yang berasal dari Pulau Pinang dan dibahagikan kepada empat segmen.

“Empat segmen itu ialah Anak Merdeka, Perjuangan Penuh Liku, Kesetiaan Teruji dan Wawasan Negarawan. Ia antara lain menceritakan keperibadian, suka duka dan jatuh bangun bekas Perdana Menteri yang belum diketahui khalayak.

“Antara yang mungkin belum diketahui terutama dalam kalangan generasi muda ialah Tun Abdullah adalah cucu Sheikh Abdullah Fahim, ahli falak yang menetapkan tarikh kemerdekaan negara kita pada 31 Ogos 1957,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, dokumentari satu jam itu berkongsi fakta dengan lebih 20 tokoh pelbagai latar belakang seperti ahli keluarga, rakan sekolah, sahabat, tokoh akademik, tokoh politik serta rakan bekas Perdana Menteri itu dari dalam dan luar negara.

“Antara diplomat luar negara yang ditemubual ialah bekas Perdana Menteri Pakistan, Shaukat Aziz; bekas Timbalan Perdana Menteri Thailand, Prof Dr Surakiart Sathirathai dan tokoh Muslim dari Amerika Syarikat, Imam Feisal Abdul Rauf.

“Selain itu, ada juga temubual dengan mereka yang pernah berkhidmat di bawah kepemimpinan Tun Abdullah,” katanya.

Dokumentari itu juga, katanya, memberi fokus kepada gagasan Islam Hadhari dan pembangunan modal insan yang dijadikan prinsip hidup serta asas kepemimpinan Perdana Menteri kelima itu dalam membangunkan negara.

Beliau berharap dokumentari mengenai Bapa Pembangunan Modal Insan itu dapat menjadi rujukan dan panduan semua pihak termasuk penyelidik dan pelajar untuk menelusuri legasi tokoh atau negarawan yang berjasa dan menyumbang kepada pembinaan negara bangsa.

Katanya, dokumentari khas berkenaan akan disiarkan di saluran Astro Prima pada jam 9 malam, 3 Ogos ini.

Berita Harian X