Khamis, 1 Ogos 2019 | 7:18pm
Gambar terkini Ainul Mardhiah yang dikongsikan ayahnya, Ahmad Safiuddin di Facebook. - Foto Facebook Ahmad Safiuddin

Belum buat persiapan sambut ulang tahun pertama Ainul

KUALA LUMPUR: Keluarga Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin belum memutuskan untuk mengadakan sambutan ulang tahun pertama kanak-kanak itu pada 13 Ogos ini.

Bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, berkata ketika ini mereka memberi tumpuan kepada pemeriksaan lanjut dan pengimejan di dada bagi mengetahui sama ada terdapat jangkitan kuman sebelum boleh dibenarkan pulang.

Katanya, mereka sekeluarga tidak sabar membawa Ainul Mardhiah balik ke rumah kerana kanak-kanak itu sudah lama berada di hospital, namun biarlah dalam keadaan kesihatannya baik dan stabil.

“Alhamdulillah, Ainul berada dalam keadaan yang sihat dan stabil. Sebagai ibu bapa, saya dan isteri, Nurul Erwani Zaidi, 24, pastinya mahu melihat anak kami ceria pada hari ulang tahun kelahirannya.

“Namun ketika ini, kami belum membuat sebarang persiapan untuk menyambut hari ulang tahun kelahirannya, sebaliknya memberi tumpuan kepada rawatan kesihatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ainul Mardhiah kini menjalani rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas dibawa pulang dari London, Ahad lalu.

Bayi itu yang menghidap ‘Germ Cell Tumor’ di mulut, dibawa ke London pada 25 Mei lalu dan menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan seberat 200 gram pada 10 Jun lalu di Hospital Great Ormond Street.

Pembedahan dilakukan sekumpulan pakar bedah dan bius di bawah seliaan Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway.

Selepas pembedahan itu, Ainul Mardhiah yang pada awalnya memiliki berat badan 2.5 kilogram (kg) ketika tiba di London, menunjukkan perkembangan menakjubkan apabila beratnya bertambah secara konsisten hingga 3.1kg.

Berita Harian X