Jumaat, 2 Ogos 2019 | 4:25pm
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) mempengerusikan mesyuarat Majlis Tanah Negara Kali Ke-75 di Dewan Persidangan ICU Bangunan Perdana Putra hari ini. Turut kelihatan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar (kiri) dan Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Tengku Zulpuri Shah Raja Puji. - Foto BERNAMA
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) mempengerusikan mesyuarat Majlis Tanah Negara Kali Ke-75 di Dewan Persidangan ICU Bangunan Perdana Putra hari ini. Turut kelihatan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar (kiri) dan Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Tengku Zulpuri Shah Raja Puji. - Foto BERNAMA

Pindaan MTN mudahkan urusan bahagi pusaka

KUALA LUMPUR: Masalah pembahagian pusaka boleh diselesaikan dengan lebih mudah apabila Majlis Tanah Negara (MTN) meluluskan cadangan Pindaan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955, hari ini.

Melalui cadangan pindaan itu, bidang kuasa nilaian pejabat pusaka ditingkatkan daripada RM2 juta kepada RM5 juta dan pada masa sama, syarat keperluan memiliki harta tidak alih dihapuskan.

Permohonan pusaka tidak alih itu boleh difailkan di mana-mana pejabat pusaka di negeri tempat harta berkenaan berada.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat ke-75 MTN di Putrajaya yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mesyuarat turut dihadiri Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, beberapa menteri Kabinet, Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dalam satu kenyataan berkata, cadangan pindaan itu akan memudahkan orang ramai memfailkan permohonan dan menyelesaikan masalah pembahagian pusaka.

Katanya, mesyuarat turut membincangkan beberapa isu lain termasuk skop pengurusan dan pengukuran tanah, perhutanan serta sumber mineral menerusi enam kertas kerja berasingan.

“MTN juga bersetuju dengan cadangan Konsep Penyerahan dan Pendaftaran Secara Elektronik (OPR) Sepenuhnya.

“Kelulusan dasar ini akan membolehkan semua urusan penyerahan dan pendaftaran hak milik pada masa depan dibuat di kaunter pejabat tanah dan secara dalam talian,” katanya.

Cadangan pindaan dibuat bagi menambah baik sistem penyampaian awam dan memudahkan urusan tanah di seluruh negara.

Kenyataan itu menyebut, kerajaan juga bersetuju mewujudkan insurans dalam urusan pendaftaran tanah bagi mengelak berlaku kes penipuan dalam urusan pendaftaran hak milik.

Cadangan pewujudan konsep dana insurans bagi transaksi tanah itu dibuat berikutan banyak kes membabitkan penipuan dan pemalsuan hak milik.

“Konsep dana insurans ini akan dikaji, supaya kerugian kepada pemilik yang terbabit boleh dielak,” katanya.

MTN juga meluluskan cadangan pindaan Kanun Tanah Negara Bagi Mengeluarkan Permit Bahan Batuan yang antara lain akan memberikan lebih kuasa kepada Pentadbir Tanah untuk memberhentikan kerja pengeluaran bahan batuan yang merosakkan ekosistem alam sekitar.

“Ulasan jabatan teknikal akan dijadikan syarat mandatori, sebelum permit pengeluaran dikeluarkan. Ini boleh mengawal daripada kerosakan alam sekitar disebabkan operasi pengeluaran bahan batuan berlebihan,” katanya.

Turut dipersetujui ialah bagi kerajaan negeri mengekalkan pewartaan Hutan Tadahan Air yang dibuat sebelum ini, iaitu sebanyak 323,929 hektar.

Ketika ini, tiga negeri belum menyelesaikan baki pewartaan kawasan Hutan Tadahan Air iaitu Johor, Perak dan Pulau Pinang membabitkan kawasan yang belum diwartakan seluas 55,716 hektar.

Pewartaan kawasan hutan tadahan air di Hutan Simpanan Kekal di Semenanjung, penting bagi menjaga sumber air dan hutan negara negara daripada diceroboh dan dijadikan kawasan pembangunan.

Berita Harian X