Ahad, 4 Ogos 2019 | 6:39pm
Pemandangan Bandaraya Kuala Lumpur kelihatan kabur diselubungi jerebu yang melanda hari ini. Bacaan IPU 69 pada tahap sederhana pada jam 4 petang. - NSTP/Rosela Ismail

Titik panas punca jerebu terus meningkat

KUALA LUMPUR: Kewujudan titik panas yang dikesan menjadi punca utama jerebu di rantau ini mencatatkan peningkatan kepada 39 lokasi hari ini berbanding 31 lokasi semalam.

Peta taburan titik panas Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) menunjukkan sebanyak 36 lokasi dikesan berlaku di Kalimantan, iaitu 13 di wilayah barat, wilayah tengah (10), wilayah selatan (8) dan wilayah timur (5).

Dua titik panas dikesan berlaku di Sulawesi, Indonesia, manakala satu lagi di Keningau, Sabah.

Sementara itu, bacaan kualiti udara di seluruh negara, setakat jam 6 petang hari ini menunjukkan masih di tahap sederhana apabila 66 daripada 68 stesen Jabatan Alam Sekitar (JAS) mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) antara 51 hingga 100.

Tawau, Sabah dan Limbang, Sarawak pula merekodkan IPU baik, iaitu bawah 50.

Bacaan IPU 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, antara 51 dan 100 (sederhana), antara 101 dan 200 (tidak sihat), antara 201 dan 300 (amat tidak sihat) dan lebih 301 (berbahaya).

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Jailan Simon, sebelum ini dilaporkan berkata keadaan jerebu yang melanda negara dijangka berterusan susulan kewujudan titik panas membabitkan beberapa daerah di sekitar Indonesia.

Katanya, faktor angin yang bertiup secara konsisten dari arah Barat Daya membawa jerebu akibat pembakaran hutan yang berlaku di Indonesia, sehingga mencetuskan kemerosotan bacaan IPU di Malaysia.

“Keadaan atmosfera stabil dan kurang hujan diramal berterusan. Berdasarkan corak tiupan angin ini, keadaan jerebu di Semenanjung dijangka berterusan sekiranya kewujudan titik panas masih berlanjutan,” katanya.

Jailan bagaimanapun berkata, keadaan jerebu adalah bersifat sementara dan pihaknya sentiasa memantau keadaan cuaca di seluruh negara secara berterusan.

Berita Harian X