Ahad, 4 Ogos 2019 | 8:00pm
Pembiakan baka anjing terlarang dilakukan di premis persendirian semakin berleluasa.

Lebih 2,000 anjing baka terlarang dalam negara

KUALA LUMPUR: Premis atau tanah persendirian seperti kawasan rumah dan ladang dijadikan tempat pembiakan haram baka anjing terlarang meskipun Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) melarang baka berkenaan diimport ke negara ini.

Kawasan sedemikian yang dijadikan tempat membiak baka terlarang itu sukar dikesan penguat kuasa JPV dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Baka induk pula boleh dikatakan mudah diperoleh secara haram dari pembekal luar negara. Difahamkan, Thailand adalah antara negara pembekal baka anjing terlarang terutama membabitkan spesies American Pitbull Terrier.

American Pitbull Terrier adalah antara tujuh baka anjing yang dilarang import ke negara ini oleh JPV dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Enam baka lain yang turut dilarang ialah American Bulldog, Neapolitan Mastiff, Japanese Tosa, Akita, Dogo Argentino dan Fila Braziliero.

Di Malaysia, American Pitbull Terrier adalah baka paling mendapat permintaan dalam kalangan penggemar anjing kerana ia dikatakan bijak, gagah dan pantas walaupun bersaiz sederhana.

Untuk menampakkan riak yang bengis, ada pemilik anjing baka berkenaan mengerat kedua-dua telinga sehingga kelihatan separuh atau kecil supaya muka anjing itu lebih bengis.

Difahamkan, baka anjing terlarang mudah menyelusup masuk ke negara ini bukan sahaja melalui laluan tikus malah ada pihak berani dan secara terang-terangan menggunakan laluan ‘sah’ iaitu melalui pintu sempadan negara.

Ia membabitkan pintu sempadan Bukit Kayu Hitam dan Durian Burung masing-masing terletak di sempadan Kedah-Thailand.

Di Sabah dan Sarawak pula, baka anjing berkenaan dipercayai diseludup melalui jalan air dari Filipina dan Vietnam.

Pelbagai kaedah digunakan individu terbabit untuk menyeludup masuk baka berkenaan ke negara ini bagi memenuhi permintaan pasaran berikutan seekor baka anjing American Pitbull Terrier mampu mencecah RM2,000 bagi yang berusia empat minggu.

Anak anjing baka terlarang pada usia empat minggu sering menjadi pilihan untuk diseludup berikutan ia kelihatan seperti anjing biasa.

Kaedah yang selalu digunakan adalah dengan mencampurkan anak anjing baka terlarang dengan baka biasa yang lain. Ini kerana, luaran anjing itu kelihatan sama dengan anjing biasa lain.

Difahamkan, terdapat empat saluran untuk membeli baka berkenaan.

Saluran pertama, melalui penjual persendirian. Mereka mendapat ‘stok’ anjing terlarang daripada pembiak dari Johor, Perak dan Pulau Pinang. Ada juga yang memperoleh baka berkenaan dari pembiakan luar negara seperti Thailand.

Saluran kedua, membeli terus daripada pembiak tempatan atau dari luar negara yang mengiklankan khidmat mereka secara dalam talian melalui media sosial seperti Facebook dan platform membeli-belah dalam talian.

Saluran ketiga, membeli daripada kedai haiwan peliharaan yang dipercayai beroperasi secara sah apabila memiliki permit dan lesen berniaga daripada PBT atau dibenarkan agensi penguat kuasa terbabit.

Saluran keempat, terdapat kakitangan daripada persatuan anjing tempatan yang ‘mencadangkan’ nama beberapa ahli berdaftar di bawah persatuan bukan kerajaan (NGO) itu untuk membeli anjing daripada individu berkenaan.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika, berkata berikutan penyeludupan dan pembiakan haram yang dilihat kian berleluasa tanpa penguatkuasaan, terdapat 2,000 hingga 3,000 anjing baka terlarang terutama membabitkan jenis American Pitbull Terrier di negara ini.

Beliau berkata, anggaran itu diperoleh berdasarkan pengalaman pihaknya menemu bual kumpulan dan komuniti pembiak anjing di negara ini.

“Wujud pasaran dan permintaan kerana baka anjing terbabit dianggap unik, gagah dan bijak untuk dijadikan haiwan peliharaan ataupun pelindung namun urusannya berlaku secara tertutup.

“Anjing dan kucing muda dibawa masuk melalui sempadan Thailand. Tidak dapat dinafikan, banyak anjing dan kucing diseludup tanpa proses pemeriksaan dan kuarantin. Maknanya, ikut jalan gelap sebagaimana pengedaran dan penyeludupan benda haram lain seperti rokok.

“Kita juga tak nafikan, ada baka anjing ini diseludup guna jalan laut. Ada masuk dari Filipina ke Sabah dan terus dibawa ke Semenanjung Malaysia guna jalan laut,” katanya kepada BH.

Arie turut mendedahkan, anjing terlarang banyak dibela di rumah seperti kondominium sehingga ia sukar dikesan PBT atau JPV.

Walhal, katanya, kawasan terbabit tidak sesuai dijadikan tempat memelihara haiwan itu berikutan ia memiliki sifat agresif dan menyerang, sekali gus menyebabkan ia tidak sesuai dipelihara.

“Apabila masuk ke Malaysia, ia akan dibiakkan. Ada pembiak yang kacuk (baka anjing terlarang dengan baka biasa) dengan pemilik lain. Ia menjadi berleluasa.

“Saya tak nafikan, kebanyakan penghuni kondominium bela dalam rumah. Banyak bela dan berselindung dalam rumah. Ada juga bela dalam kawasan ladang sebab anjing itu bersifat menyerang,” katanya.

Antara laman sosial yang menjual serta kumpulan yang aktif berkaitan anjing baka terlarang.

Mohon benar bela American Pitbull Terrier

Satu petisyen akan dihantar kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur supaya satu baka terlarang iaitu American Pitbull Terrier dibenarkan untuk dipelihara.

Mengetuai gerakan itu, S Selvam, 30, pemilik anjing baka terlarang jenis American Pitbull Terrier yang menetap di Jalan Klang Lama.

Bekerja sebagai jurutera, beliau sedaya upaya mengumpulkan sebanyak 1,000 tandatangan melalui satu petisyen.

Katanya, matlamat petisyen itu antara lain bagi mewujud dan menyebarkan kesedaran kepada orang awam dan pihak berkuasa supaya memahami situasi sebenar mengenai anjing.

“Saya cuba jelaskan bahawa jika pemilik anjing itu ajar benda salah, kemungkinan besar anjing itu turut akan bermasalah. Jika pemiliknya bertanggungjawab, anjing ini akan jadi betul.

“Saya tinggal di sebuah kondominium dekat Jalan Klang Lama. Di sini ada orang Melayu, Cina dan India. Untuk pengetahuan, semua aktiviti saya bersama anjing dilakukan di kawasan kondominium ini. Saya dapati, reaksi mereka positif dan mereka juga terkejut anjing American Pitbull yang saya bela dalam keadaan baik.

“Jadi, saya sedang menyebarkan kesedaran kepada semua supaya orang faham situasi sebenar dan tidak pukul rata. Usaha ini dapat mengelak persepsi buruk terhadap anjing. Apa pun, semua bergantung sepenuhnya terhadap pemilik anjing. Kalau tidak bersedia, nasihat saya jangan bela anjing,” katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Selvam berkata, bukan mudah memelihara anjing sekiranya anjing itu daripada baka yang agresif dan memiliki stamina tinggi.

Misalnya, beliau berkata, anjing terlarang yang dipelihara hampir empat bulan lalu memerlukan rutin latihan intensif secara berterusan supaya haiwan itu dapat menggunakan tenaga dimiliki dengan sebaik mungkin.

Katanya, baka anjing jenis American Pitbull Terrier sememangnya anjing yang berstamina tinggi selain begitu aktif bermain.

“Anjing yang saya bela ini memerlukan latihan. Ia gemar bermain. Ia bermaksud, anjing ini jenis yang aktif. Jadi, ia memerlukan saya untuk selalu membawanya keluar seperti berlari atau berjalan.

“Rutin sebegini amat diperlukan supaya ia dapat membina fizik serta mental yang sihat. Perhatian secukupnya atau komitmen tinggi perlu diberikan. Anjing ini bukan sekadar bela begitu saja tetapi kita perlu sentiasa meluangkan masa untuk bermain dengannya.

“Saya ambil masa kira-kira dua bulan untuk melatih anjing ini supaya ia patuh arahan. Saya kena ajar ia bersabar, cara makan dan minum. Kalau lepas tali pun anjing itu tidak akan lari,” katanya.

Beliau berkata, pemilik yang pasif boleh menyebabkan anjing peliharaan bertukar ganas sehingga berisiko tinggi mencederakan orang sekeliling.

Jual beli anjing baka terlarang turut dibuat secara dalam talian tanpa kawalan pihak berkuasa.

Sesuai pelihara di kawasan ladang bukan rumah

Seorang penjual anjing beranggapan baka anjing terlarang boleh dibela di ladang dan bukan di kawasan perumahan.

Mahu dikenali sebagai Mohan, lelaki berusia dalam lingkungan lewat 40-an itu berkata, jika sesiapa mahu membela di kawasan ladang, mereka tidak memerlukan sebagai dokumen kebenaran seperti permit untuk berbuat demikian.

Menjalankan perniagaan itu di Johor Bahru, Johor, dia mengakui terpaksa mendapatkan baka anjing terlarang itu di negeri lain.

“Tak payah (perlu) permit kalau (bela) dalam ladang. Tak payah apa-apa pun (dokumen). Pitbull tak boleh simpan di kawasan rumah. Kalau ladang orang tak mengadu.

“Sebenarnya, tak banyak (di Johor). Sebab tak ramai yang biak Pitbull. Kena cari di negeri lain juga. Ada orang biak di Pulau Pinang, Perak, Melaka dan Kuala Lumpur.

“Harga RM1,000 hingga RM1,500 seekor (Pitbull). Tempah hari ini, dalam dua minggu sampai. Nak bela tak ada risiko,” katanya.

Seorang pembiak anjing, Muzaffar Ishak, 47, pula berkata terdapat komuniti yang membela anjing terlarang di negara ini yang bergerak secara rahsia.

Selain membela dan meminati, katanya, kumpulan itu juga ada menganjurkan ‘kelas’ mengajar cara membiak baka terbabit.

“Ada komuniti tetapi kumpulan rahsia. Kalau kita ingin sertai mereka di Facebook, mereka susah benarkan. Mereka akan siasat latar belakang kita dahulu, barulah boleh sertai mereka.

“Kita di Malaysia, setiap minggu kumpulan itu buat program (ajar biak anjing). Persatuan anjing pun ada ajar bagaimana untuk biak anjing,” katanya kepada BH.

Muzaffar yang berpengalaman membiak anjing dan kucing hampir 10 tahun mendakwa, baka anjing terlarang mudah masuk ke negara ini ketika ia berusia empat minggu.

Pada usia sebegitu, katanya, pegawai pemeriksa di lapangan sukar mengenal pasti rupa bentuk anjing itu sama ada berasal daripada tujuh baka anjing terlarang atau sebaliknya.

“Bawa masuk dalam bentuk puppy (anak anjing). Usia empat minggu selepas cerai susu ibu. Apabila puppy, lepaslah (pemeriksaan sempadan),” katanya.

Berita Harian X