Ahad, 4 Ogos 2019 | 8:01pm
30 peratus daripada 20,000 unit lif di KL belum perbaharui CF. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

6,000 lif tiada CF

KUALA LUMPUR: Kejadian lif menggelungsur sebelum berhenti secara mengejut di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di sini petang kelmarin, tentunya mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penghuni perumahan bertingkat serta bangunan tinggi.

Mujur dalam kejadian di PPR Kerinchi itu, tiada nyawa yang menjadi korban, tetapi yang pasti ia adalah mimpi ngeri yang meninggalkan trauma kepada sembilan mangsa termasuk lapan yang cedera, apabila hanya mampu berdoa sambil berserah kepada takdir Ilahi, ketika lif yang dinaiki menggelungsur dari ketinggian 15 meter.

Namun, ia menunjukkan pentingnya penyelenggaraan dan pemeriksaan tahap keselamatan lif dibuat secara berkala mengikut piawaian ditetapkan pihak berkuasa tanpa sebarang kompromi, demi memastikan tahap mekanikal semua lif dalam keadaan sempurna sepanjang masa.

Di sebalik kepentingan aspek keselamatan lif ini, semakan BH dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) Kuala Lumpur dan Putrajaya, mendapati di sekitar Kuala Lumpur sahaja, hampir 6,000 unit lif belum memperbaharui Sijil Perakuan Kelayakan (CF). Jumlah itu adalah kira-kira 30 peratus daripada 20,000 unit lif berdaftar sekitar Kuala Lumpur.

Jika lif PPR Kerinchi yang mempunyai rekod penyelenggaraan dengan CF sehingga Januari tahun depan boleh mengalami masalah mekanikal secara tiba-tiba, sudah tentu kemudahan yang belum memperbaharui CF lebih berisiko jika digunakan berterusan tanpa pemeriksaan keselamatan.


Keratan akhbar BH, semalam.

Antara punca pemilik bangunan tidak memperbaharui CF adalah kerana menyedari lif berkenaan gagal mematuhi Peraturan Peraturan (Lif Elektrik Penumpang-penumpang dan barang-barang ) Kilang dan Jentera 1970.

Pengarah JKKP Kuala Lumpur dan Putrajaya, Husdin Che Amat, ketika mengulas isu itu, mendedahkan ada pemilik bangunan yang melantik firma penyelenggaraan lif yang tidak kompeten atau kontraktor tidak berdaftar serta tiada kontrak semata-mata mahu menjimatkan kos.

“Ada penyelenggaraan dibuat hanya sekadar memenuhi syarat minimum. Ada pula firma penyenggaraan lif yang kompeten dilantik tetapi enggan meneruskan kerja menyelenggara kerana tunggakan bayaran belum dijelaskan oleh pemilik bangunan terbabit.

“Selain itu, kecuaian atau sengaja melengahkan pembaharuan CF lif kerana kurang kesedaran pematuhan ke atas keperluan undang-undang.

“Banyak faktor menyebabkan CF tidak diperbaharui termasuk kegagalan pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB) yang dilantik pemilik bangunan untuk menguruskan kewangan bagi penyelenggaraan lif,” katanya kepada BH.


Pengarah JKKP Kuala Lumpur dan Putrajaya, Husdin Che Amat.

Husdin menegaskan yang penggunaan lif tanpa CF, adalah menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 19(1) Akta Kilang dan Jentera 1967, yang jika disabitkan boleh didenda hingga RM150,000.

“JKKP ada mengeluarkan Permit Mesin Angkat (PMA) yang mesti dipamerkan dalam lif,” katanya.

Husdin berkata, berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP), jika berdepan sebarang kecemasan ketika berada dalam lif, penumpang perlu menekan butang kecemasan sambil menghubungi bantuan menerusi interkom tetapi bantuan lambat jika tiada penjaga di pusat kawalan yang dihubungkan oleh lif berkenaan.

“Justeru itu, saya nasihatkan pengguna lif sentiasa bawa telefon bimbit sekiranya kedua-dua sistem berkenaan tidak berfungsi akibat kelemahan penyelenggaraan," katanya.

Berita Harian X