Isnin, 5 Ogos 2019 | 5:07pm
Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis. - NSTP/Malai Rosmah Tuah

5 negara bincang isu jerebu rentas sempadan

PUTRAJAYA: Malaysia akan membincangkan isu jerebu rentas sempadan pada Mesyuarat Ke-21 Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) dan Sub-Serantau Jawatankuasa Pemandu Menteri Mengenai Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan di Brunei yang bermula hari ini.

Delegasi Malaysia diketuai Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis.

Mesyuarat tahunan itu membabitkan lima negara iaitu Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand bagi memantau dan memperincikan langkah perlu dalam mengatasi jerebu rentas sempadan, selaras Perjanjian ASEAN mengenai jerebu merentasi sempadan.

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) menerusi kenyataan hari ini berkata, Malaysia akan melaporkan semua tindakan sudah diambil bagi memastikan insiden kebakaran terbuka dan jerebu dapat dielak, termasuk mengemaskini Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan serta pengaktifan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan yang baharu.

“Malaysia juga akan meminta negara ahli bersama mengambil tindakan proaktif dalam memastikan kebakaran hutan dan tanah gambut dalam kalangan negara ASEAN dapat dikawal bagi mengelak jerebu merentasi sempadan terus berlaku,” katanya.

MESCTECC berkata, keadaan sedikit berjerebu berlaku sekitar Lembah Klang, di kawasan selatan Pantai Barat Semenanjung dan Pantai Barat Sarawak disebabkan jerebu rentas sempadan akibat kebakaran tanah dan hutan di Sumatera serta Kalimantan, Indonesia.

Katanya, berdasarkan laporan Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) yang berpusat di Singapura pada 2 Ogos lalu, imej satelit Agensi Pentadbiran Kebangsaan Lautan dan Atmosfera (NOAA) mengesan 25 titik panas iaitu 23 di Kalimantan dan dua di Sabah.

Selain itu, terdapat titik panas yang tidak dapat dicerap imej satelit disebabkan litupan awan tebal.

“Peta Jerebu Serantau dikeluarkan ASMC menunjukkan terdapat lingkaran asap jerebu dari kawasan kebakaran tanah dan hutan di Riau dan Jambi, Sumatera serta di Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah.

“Pergerakan angin dari arah Barat Laut membawa asap jerebu dari kawasan terjejas di Sumatera dan Kalimantan ke kawasan Pantai Barat Semenanjung serta barat Sarawak yang memberi peningkatan kepada bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU),” katanya.

Sementara itu, tinjauan cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia mendapati negara kini masih dalam fasa Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan hingga pertengahan bulan depan.

Katanya, Ribut Tropika Wipha yang menghampiri utara Vietnam dijangka melemah dan lenyap sepenuhnya hari ini, manakala Ribut Tropika Francisco sudah terbentuk di perairan Pasifik.

“Terdapat satu lagi sistem tekanan rendah sedang terbentuk berhampiran barat Filipina. Keadaan ini mempengaruhi corak tiupan angin di rantau negara dan keadaan cuaca juga dijangka lebih kering sepanjang tempoh ramalan,” katanya.

Berita Harian X