Selasa, 6 Ogos 2019 | 7:31pm
MUFTI Perak, Tan Sri Harussani Zakaria. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Khat, tulisan Jawi sudah lama dipelajari pelbagai kaum - Harussani

IPOH: Tulisan Jawi dan Bahasa Melayu, termasuk khat sudah dipelajari oleh pelbagai kaum termasuk Inggeris di negara ini sejak beratus tahun lalu, sehingga mampu memupuk perpaduan rakyat dengan lebih nyata serta menjadi warisan bangsa.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata adalah tidak benar tuduhan yang mengatakan bahawa dengan mempelajari Jawi, pelajar akan diminta memeluk Islam.

“Sejarah membuktikan pegawai dan pembesar British apabila berhubung dengan Raja-raja dan pembesar Melayu, mereka menulis dalam Bahasa Melayu dengan tulisan Jawi.

“Malah, tulisan Jawi dan Bahasa Melayu telah dipelajari pelbagai bangsa di Malaysia dan semangat perpaduan antara kaum dapat dizahirkan dengan nyata,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Harussani berkata, cadangan penerapan tulisan Jawi dan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu bukan sesuatu yang asing dalam sesebuah negara.

Katanya, kerajaan Turki ketika ini memperkenalkan semula bahasa mereka menggunakan tulisan asal bagi memelihara sejarah dan warisan negara itu kepada rakyatnya, terutama generasi muda.

Beliau berkata, begitu juga Korea, Jepun dan China yang menetapkan setiap rakyat yang ingin memasuki universiti di negara masing-masing mesti lulus bahasa dan tulisan warisan negara berkenaan.

Harussani berkata, sejarah mencatatkan perkembangan tulisan Jawi sinonim dengan kedatangan Islam ke Tanah Melayu sekali gus menjadi lambang dan simbol yang mewakili bahasa dan entiti orang Melayu sebagai kaum pribumi dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Maka, dengan ini saya ingin menekankan bahawa Bahasa Melayu dan tulisan Jawi termasuk khat adalah seperti aur dengan tebing, iaitu tidak boleh dipisahkan berdasarkan sejarah Tanah Melayu.

“Menggalakkan pengenalan dan penggunaan tulisan Jawi dan khat adalah sesuatu yang harus disokong oleh semua pihak. Sesungguhnya, kekuatan sesuatu tamadun adalah dengan menghayati sejarah zaman silam,” katanya.

Harussani sangat bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk mewujudkan penambahan unit baharu dalam subjek Bahasa Melayu dengan menerapkan tulisan Jawi dan khat sebagai sebahagian daripada silibus mata pelajaran itu.

Katanya, cadangan itu adalah seiring dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, yang menyarankan supaya mempertahankan tulisan Jawi sebagai warisan bangsa.

Malah, katanya, tokoh akademik tersohor, Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas, menyebut catatan pertama pada Batu Bersurat Terengganu bertarikh 1303 menggunakan tulisan Jawi berbahasa Melayu.

Berita Harian X