Rabu, 7 Ogos 2019 | 3:30pm
Md Azhar dan Junaidah menunjukkan gambar anak mereka Amirul Ashraff yang meninggal dunia selepas terjatuh dari pangsapuri di Australia. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Md Azhar dan Junaidah menunjukkan gambar anak mereka Amirul Ashraff yang meninggal dunia selepas terjatuh dari pangsapuri di Australia. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

'Amirul Ashraf tak kecewa atau tertekan'

TAIPING: Keluarga Allahyarham Amirul Ashraff Md Azhar, 22, penuntut Malaysia yang maut di Sydney, Australia selepas tergelincir dari bangunan kediamannya, meminta orang ramai tidak mempercayai spekulasi negatif kononnya kematian itu akibat tekanan kerana gagal dalam pelajaran.

Bapa mangsa, Md Azhar Abdullah, berkata dalam perbualan telefon terdahulu, anak sulungnya itu ada memaklumkan gagal lima mata pelajaran namun tidak menyatakan berasa tertekan dengan keadaan itu, sebaliknya memberitahu sudah membuat rayuan untuk mengulangi semula subjek yang gagal.

“Dia tidak nyatakan kekecewaan atau tekanan akibat kegagalan itu dan kami sekeluarga yakin kejadian adalah disebabkan kemalangan seperti yang dilaporkan pihak berkuasa negara berkenaan,” katanya ditemui di rumahnya di Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Tekah, di sini, hari ini.

Md Azhar berkata, berdasarkan maklumat diperoleh menyatakan anaknya dikatakan tergelincir dari tingkat 23 pangsapuri yang diduduki bersama enam rakan.

“Saya difahamkan pangsapuri yang dia tinggal setinggi 27 tingkat dan dia terjatuh dari tingkat 23.

“Harap orang ramai atau netizen tidak membuat sebarang spekulasi negatif yang boleh mengguris hati kami termasuk menyebarkan gambar kemalangan arwah,” katanya.

Beliau menerima maklumat daripada pihak MARA bahawa jenazah pelajar tahun akhir Ijazah Kejuruteraan Mekatronik University Technology Of Sydney itu kini ditempatkan di hospital dan proses bedah siasat akan dibuat hari ini.

“Saya harap jenazah anak saya dapat segera dibawa pulang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Assam Kumbang, di sini,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Junaidah Ahmad, 46, berkata arwah adalah anak harapan keluarga.

“Arwah pernah menjadi lima pelajar terbaik ketika belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Balik Pulau, Pulau Pinang dan kini adik-adiknya mengikut jejak langkahnya.

“Memang berat untuk kami terima (kematian arwah) namun ia adalah ketentuan Allah dan kami reda dengan pemergiannya,” katanya.

Junaidah berkata, pihak MARA ada menawarkan keluarganya ke Australia untuk melihat dan menuntut jenazah arwah namun mereka menolak berikutan masih lemah dan terkejut dengan perkhabaran duka itu.

“Saya dan suami nak berjalan pun terasa lemah kerana masih terkejut dengan kejadian ini. Biarlah kami menunggu di sini dan kami berharap agar jenazah arwah dapat segera dibawa pulang ke sini,” katanya.

Berita Harian X