Khamis, 8 Ogos 2019 | 8:01am

Keluarga Nora Anne hargai bantuan pasukan SAR

SEREMBAN: Ahli keluarga Nora Anne Quorin, 15, yang hilang di sebuah resort di Pantai, di sini sejak Ahad lalu meluahkan penghargaan kepada pasukan keselamatan dan orang ramai yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja perempuan warga Ireland itu.

Dalam satu kenyataan, keluarga remaja itu memaklumkan mereka masih bersedih dengan kejadian berkenaan dan berharap semua pihak akan terus membantu serta menyokong usaha mencari Nora Anne.

“Terima kasih kepada pihak polis dan pasukan SAR untuk segala bantuan sepanjang kami berhadapan detik hitam ini.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak kedutaan, komuniti setempat, pekerja hotel dan orang ramai yang turut membantu.

“Kami terharu dengan segala sokongan yang diberikan. Kejadian ini sangat traumatik,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Kenyataan itu dikeluarkan Lucie Blackman Trust, sebuah badan amal yang menguruskan hal ehwal berkaitan media untuk keluarga mangsa.

Kenyataan itu turut menyebut ibu bapa mangsa, Sebastien Quoirin dan Meabh Qouirin terlalu sedih untuk mengulas insiden kehilangan remaja berkenaan.

“Keluarga kami tidak boleh menghadap perkara ini buat masa ini. Namun, kita harus terus percaya. Kami berharap semua pihak akan terus menyokong dan membantu usaha mencarinya. Nora masih hilang dan kita perlu lakukan segalanya untuk pastikan dia selamat pulang,” katanya.

Nora Anne sebelum ini dilaporkan hilang ketika menginap di sebuah resort di Pantai di sini pada Ahad lalu sebelum pihak berkuasa melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, operasi SAR yang memasuki hari kelima hari ini masih gagal mengesan mangsa.

6696 dibaca
ANGGOTA Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mencari seorang remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu di sebuah resort di Pantai, Seremban, Negeri Sembilan. - Foto Adzlan Sidek
Berita Harian X