Khamis, 8 Ogos 2019 | 12:19pm
SEKITAR Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) Bayan Lepas, kelihatan kabur dipercayai akibat jerebu. - Foto Danial Saad
SEKITAR Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) Bayan Lepas, kelihatan kabur dipercayai akibat jerebu. - Foto Danial Saad

5 negara ASEAN tingkat kerjasama tangani jerebu rentas sempadan

KUALA LUMPUR: Lima negara ASEAN mencapai kata sepakat meningkatkan kerjasama menangani pencemaran jerebu merentas sempadan secara berkesan melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Jerebu Merentas Sempadan.

Menurut Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dalam satu kenyataan, hari ini, komitmen itu dimeterai menerusi mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Kementerian Sub-Wilayah (MSC) Ke-21 di Brunei pada Selasa lalu.

Katanya, lima negara ahli MSC itu juga bersetuju mempertingkat koordinasi serantau melalui pelaksanaan projek kerjasama antarabangsa membabitkan program menangani jerebu rentas sempadan, pelaksanaan pengurusan hutan secara berkekalan dan konservasi kawasan tanah gambut.

“(Ahli MSC) Berikrar untuk berwaspada, memantau serta mempertingkat langkah pencegahan bagi meminimumkan sebarang kejadian jerebu rentas sempadan ketika cuaca panas dan kering antara Ogos hingga Oktober depan,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, negara ahli MSC juga mengesahkan kesediaan mereka untuk memberi bantuan teknikal berupa peralatan dan sumber tenaga manusia sekiranya berlaku kebakaran hutan berskala besar yang menyebabkan jerebu merentas sempadan.

“MSC turut mengulangi komitmen untuk mencapai objektif dan prinsip Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan mencapai sasaran ‘ASEAN Tanpa Jerebu’ menjelang 2020.

“Selain itu, akan meneruskan program pembangunan kapasiti dan latihan dalam kalangan negara anggota dalam menangani jerebu rentas sempadan,” katanya.

Pada mesyuarat itu, Malaysia diwakili Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah.

Mesyuarat itu turut dihadiri Datuk Seri Setia Ir Awang Suhaimi Gafar mewakili Brunei, Masagos Zulkifli (Singapura), Pralong Dumrongthai (Thailand), Dr Agus Justiano (Indonesia) dan Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Lim Jock Hoi.

Menurut kenyataan itu, pada mesyuarat berkenaan, Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) berpusat di Singapura melaporkan rantau ASEAN dijangka mengalami keadaan cuaca neutral tanpa El Nino atau La Nina pada bulan ini hingga Oktober depan.

“Selatan rantau ini dijangka mengalami kekurangan taburan hujan, terutama di Malaysia, Singapura dan Sumatera, Indonesia, dengan cuaca lebih panas serta kering bagi tempoh Ogos hingga Oktober 2019,” katanya.

Selain itu, kelima-lima negara MSC membentangkan tindakan diambil dalam menangani kejadian kebakaran dan jerebu di negara masing-masing.

“Secara am, kebanyakan kejadian kebakaran di negara ahli MSC berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah gambut disebabkan cuaca panas serta kering yang melanda selatan rantau ASEAN,” katanya.

Dalam konteks Malaysia, katanya, Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan sudah diaktif membabitkan kerjasama bersepadu pelbagai kementerian, jabatan dan agensi pada peringkat Persekutuan serta negeri.

Selain itu, jabatan dan agensi akan menguatkuasakan undang-undang ke atas pesalah yang menyebabkan kebakaran terbuka, serta memantapkan persediaan pemadaman kebakaran bagi memastikan kejadian jerebu merentas sempadan dapat dicegah.

Berita Harian X