Isnin, 12 Ogos 2019 | 6:04pm
Pemandangan sekitar Bandaraya Kuching berjerebu mencatat bacaan IPU sederhana berikutan pembakaran hutan yang berlaku di Kalimantan Barat, Indonesia. - NSTP/Hazreen Mohamad
Pemandangan sekitar Bandaraya Kuching berjerebu mencatat bacaan IPU sederhana berikutan pembakaran hutan yang berlaku di Kalimantan Barat, Indonesia. - NSTP/Hazreen Mohamad

Pembakaran terbuka jejas kualiti udara di Sarawak

KUCHING: Sebanyak 56 titik panas dikesan di Kalimantan Barat, Indonesia, selain empat di Sarawak iaitu dua di Miri dan masing-masing satu di Sibu dan Kapit, sekali gus menyebabkan keadaan berjerebu yang menjejaskan kualiti udara di negeri ini.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan titik panas itu dikesan imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration 19 (NOAA-19) seperti dilaporkan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpangkalan di Singapura.

Berikutan itu, Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang direkodkan sehingga jam 3 petang tadi menunjukkan satu kawasan merekodkan bacaan pada paras bahaya iaitu 347 di SK Kuala Baram 2, Miri.

Satu stesen pula mencatatkan status kualiti udara pada tahap sangat tidak sihat iaitu di Stesen ILP Miri dengan bacaannya mencecah 297, manakala dua stesen mencatatkan status kualiti udara pada tahap tidak sihat iaitu Sibu dan Sri Aman.

Baki sembilan stesen lagi menunjukkan bacaan pada tahap sederhana.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak pula memaklumkan pihaknya menerima 311 laporan kebakaran hutan dan belukar di seluruh negeri dari 1 Ogos hingga hari ini.

Ia termasuk 15 kes yang dilaporkan sehingga jam 3 petang tadi, dengan kebanyakannya membabitkan kawasan kebun dan tanah gambut.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pula mengeluarkan notis pemberitahuan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk melakukan pembenihan awan di Miri, khususnya di Kuala Baram, selain Sibu dan Sri Aman.

Ia bagi menangani kes kebakaran hutan dan belukar di kawasan berkenaan.

Berita Harian X