Isnin, 12 Ogos 2019 | 6:44pm
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berucap ketika hadir pada Majlis Ramah Mesra Penduduk Kedawang sempena Majlis Korban di Masjid Ar-Rahman Kedawang hari ini. - Foto BERNAMA

Dong Zong rasis kerana terus bantah pembelajaran Jawi

LANGKAWI: Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dianggap sebagai rasis kerana tidak pernah bersetuju dengan dasar pendidikan negara, termasuk dalam isu pembinaan Sekolah Wawasan sebelum ini, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, sikap sama Dong Zong dapat dilihat apabila pertubuhan itu masih membantah pembelajaran Jawi dan khat di sekolah vernakukar, sedangkan keputusan itu dibuat pada 2012 oleh kerajaan terdahulu.

Katanya, Dong Zong ketika itu tidak pula membangkitkan sebarang isu kerana bimbang diambil tindakan, dan hanya menyuarakannya apabila dasar itu mahu dilaksanakan kerajaan baharu.

“Dong Zong ini rasis. Dahulu kita hendak buat Sekolah Wawasan yang menempatkan sekolah Cina, sekolah Tamil dan sekolah kebangsaan dalam satu kampus pun mereka bantah kerana takut anak mereka campur Melayu.

“Banyak dasar berkaitan pendidikan negara mereka bantah dan tidak pernah setuju. Kita sudah buat keputusan (pembelajaran Jawi), jika tidak mahu ambil tak perlulah,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Penyerahan Daging Korban di Masjid Al Huda, Padang Mat Sirat di sini, hari ini.


Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan daging korban kepada asnaf ketika hadir. - Foto BERNAMA

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan Dong Zong mengadakan petisyen membantah pembelajaran Jawi dan khat yang dianggap sebagai langkah Islamisasi ke atas bukan Melayu di negara ini.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir menjelaskan, sebelum negara mencapai kemerdekaan, kerajaan mendapati adalah sukar bagi penduduk bukan Melayu belajar di dalam tulisan Jawi, menyebabkan tulisan roman diperkenal.

“Saya masih ingat ketika negara hendak merdeka kita dapati bukan Melayu susah hendak belajar dalam (tulisan) Jawi, jadi kerajaan ambil keputusan guna tulisan roman untuk mudahkan mereka.

“Kerajaan beri pertimbangan khusus kepada bukan Melayu, dan orang Melayu masih boleh belajar Jawi kerana hendak membaca al-Quran,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang mendesak agar kuasa Perdana Menteri dihadkan dalam membuat keputusan, Dr Mahathir berkata, beliau akan merujuk Charles selepas ini dalam membuat sebarang keputusan.

“Pada masa depan apabila saya hendak buat keputusan, saya akan tanya boleh atau tidak (kepada) Charles, dan dapatkan pandangan dia kerana dia setaraf dengan saya,” katanya dalam nada sinis.

4372 dibaca
Berita Harian X