Isnin, 12 Ogos 2019 | 7:10pm
MD AZHAR bersama Junaidah ibubapa kepada Allahyarham Amirul Ashraff Md Azhar Abdullah yang meninggal dunia akibat terjatuh dari apartmentnya di Australia. NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
MD AZHAR bersama Junaidah ibubapa kepada Allahyarham Amirul Ashraff Md Azhar Abdullah yang meninggal dunia akibat terjatuh dari apartmentnya di Australia. NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Jenazah Amirul Ashraff dikebumi di Australia

TAIPING: Jenazah penuntut Malaysia, Amirul Ashraff Md Azhar, 22, yang maut di Sydney, Australia, pada 6 Ogos lalu, selepas tergelincir dari pangsapuri kediamannya, tidak dibawa pulang, sebaliknya akan dikebumikan di negara berkenaan.

Ibunya, Junaidah Ahmad, 46, berkata urusan bedah siasat serta siasatan pihak berkuasa masih berjalan dan pengebumian jenazah anak sulungnya itu akan dilakukan selepas kesemua prosedur itu selesai.

Katanya, pengebumian anaknya itu diuruskan sepenuhnya oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan keluarganya sudah sepakat untuk pengebumian dilakukan di Australia.

“Bila akan dikebumikan, kami belum tahu, kerana ketika ini masih menunggu semua urusan, iaitu bedah siasat dan siasatan selesai.

“Insya-Allah kami akan pergi ke sana selepas semua urusan selesai untuk menziarahi pusara anak kami nanti,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

BH sebelum ini melaporkan, Amirul Ashraff berasal dari Taiping di sini, dikatakan tergelincir dari aras 23 pangsapuri didiaminya yang terletak kira-kira lima kilometer dari Universti Technology Of Sydney.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun, sebelum ini dilaporkan berkata, pegawai MARA di Australia sedang berusaha memastikan jenazah penuntut tahun akhir Ijazah Kejuruteraan Mekatronik itu dapat dibawa pulang segera.

Berita Harian X