Isnin, 12 Ogos 2019 | 7:36pm

Keluarga tawar ganjaran RM50,000

SEREMBAN: Keluarga Nora Anne Quoirin, 15, hari ini menawarkan ganjaran RM50,000 kepada mana-mana pihak yang berjaya menemukan remaja Ireland itu dan membawanya kembali ke pangkuan keluarga.

Ibu mangsa, Maebh Jaseprine Quoirin, berkata inisiatif itu sebagai usaha membantu siasatan polis mengesan anak sulungnya yang dilaporkan hilang sejak 4 Ogos lalu.

“Nora Anne adalah anak sulung kami. Kami sayangkan dia dan meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kehilangan Nora Anne untuk tampil membantu mencari dia.

“Pihak polis sudah berusaha gigih mengesan Nora Anne. Bagi membantu siasatan mereka, kami membuat keputusan untuk menawarkan ganjaran RM50,000 yang disumbangkan sebuah syarikat berpangkalan di Belfast (Ireland) yang enggan didedahkan namanya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Balai Polis Pantai yang hanya boleh dihadiri agensi media tertentu.

Ini juga kali pertama ahli keluarga Nora Anne tampil bertemu media sejak kehilangan anaknya pada minggu lalu.

Maebh berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kehilangan Nora Anne boleh menghubungi hotline khas operasi mencari dan menyelamat (SAR) di talian 01112285058 atau menerusi e-mel ops@Ibtrust.org bagi mereka yang di luar Malaysia.

Bagaimanapun, beliau tidak menjawab sebarang soalan lanjut media dan terus meninggalkan sidang media sebaik membacakan kenyataan berkenaan.

MAEBH Jaseprine Quoirin (tengah) dan Sebastian Marie Philipe (kiri) yang merupakan ibu dan bapa kepada seorang remaja warga Ireland Nora Anne Quoirin, 15, ketika ditemui pada sidang media tertutup di Balai Polis Pantai, Negeri Sembilan. Turut bersama Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman (kanan). NSTP/Ihsan PDRM
Berita Harian X