Rabu, 14 Ogos 2019 | 12:32am
TIMBALAN Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong. NSTP/Khairull Azry Bidin.

Henti keluar kenyataan pertikai peranan ATM

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia perlu memahami peranan sebenar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sepenuhnya dan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berhubung pasukan keselamatan negara itu.

Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong, berkata konsep kesiapsiagaan meletakkan ATM sebagai langkah terakhir bagi mempertahankan negara perlu difahami masyarakat.

“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang keturunan serta kelas ekonomi, sama ada awam atau tentera berusaha bagi memahami peranan serta pengorbanan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Chin Tong turut menyatakan kekesalan berikutan tindakan sesetengah pihak yang mengeluarkan kenyataan mempertikaikan peranan serta pengorbanan angkatan tentera sebelum ini.

Beliau merujuk kepada kenyataan seorang ahli perniagaan Koon Yew Yin sebelum ini yang memberi cadangan kepada kerajaan agar tenaga anggota tentera digunakan di sektor perladangan sebagai langkah mengimbangi sektor perkhidmatan awam.

Liew berkata, penulisan ahli perniagaan itu yang dipetik beberapa media itu amat dikesalkan. - BERNAMA

5843 dibaca
Berita Harian X