Rabu, 14 Ogos 2019 | 9:12am
MENTERI Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan Awal Mangsa Ribut di Dewan 2020, Kangar, malam tadi. - Foto Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Kerajaan perlu rumus jalan penyelesaian

KANGAR: Kerajaan Persekutuan perlu mencari jalan penyelesaian menyeluruh membabitkan konflik Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dalam isu dasar pendidikan negara.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, berkata peranan yang baik perlu ditunjukkan kerajaan kerana isu terbabit kini dilihat meruncing apabila sentimen perkauman turut dipalitkan dalam ‘perbalahan’ itu.

“Dalam hal ini, kerajaan perlu bijak mengendalikan isu-isu yang dibangkitkan kumpulan tertentu kerana ia membabitkan keharmonian dan perpaduan negara.

“Perkara ini bukan sesuatu yang baharu kerana daripada dulu lagi sudah ada, ia pasti akan timbul di mana-mana negara sekalipun dan untuk mengatasinya, kebijaksanaan oleh kepimpinan sedia ada dalam kerajaan adalah amat diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Bantuan Awal Mangsa Ribut di Dewan 2020, di sini malam tadi.

Terdahulu, Azlan menyampaikan bantuan wang tunai RM300 seorang kepada lebih 1,079 wakil keluarga mangsa tempias Taufan Lekima yang melanda Perlis pada Jumaat lalu.

Mengulas lanjut, Azlan berkata kedua-belah pihak perlu mengutamakan kepentingan negara berbanding perihal yang menjurus ke arah ‘kumpulan’ tertentu.

“Kita tidak boleh melihat secara khusus akan tuntutan yang dilihat memenuhi keperluan kumpulan tertentu itu.

“Sekiranya tuntutan terbabit kelihatan menyimpang daripada matlamat utama negara, maka keutamaan negara adalah lebih penting,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menganggap Dong Zong sebagai rasis kerana tidak pernah bersetuju dengan dasar pendidikan negara termasuk dalam isu pembinaan Sekolah Wawasan sebelum ini.

Dr Mahathir berkata, sikap Dong Zong dapat dilihat apabila pertubuhan itu masih membantah pembelajaran Jawi dan khat di sekolah vernakukar, sedangkan keputusan itu dibuat pada 2012 oleh kerajaan terdahulu.

Berita Harian X