Rabu, 14 Ogos 2019 | 2:01pm
PENGERUSI Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Charles Santiago menyampaikan ucapan perasmian di Seminar Pencemaran Sungai Dan Impak Terhadap Bekalan Air Di Semenanjung Malaysia yang diadakan di Hotel Armada Petaling Jaya. - Foto Eizairi Shamsudin

Wujudkan badan khas pantau, kawal selia agensi jaga sumber air

PETALING JAYA: Sebuah badan khas perlu diwujudkan bagi memantau dan mengawal selia secara bersepadu semua agensi serta jabatan kerajaan terbabit dalam penguatkuasaan dan kawalan sumber bekalan air negara.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago, berkata badan khas terbabit perlu diletakkan di bawah kuasa Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Tegas beliau, ia akan menyelaras dan memantau tugas setiap agensi serta jabatan terbabit jika berlaku pencemaran sumber air negara seperti dalam kes Sungai Kim Kim di Pasir Gudang sebelum ini.

Katanya, ketiadaan badan khas seumpamanya ketika ini menyebabkan tiada pihak sanggup bertanggungjawab atau bertindak jika berlaku pencemaran sungai atau sumber air mentah negara.

“Masalah yang berlaku ketika ini ialah kita mempunyai terlalu banyak agensi dan jabatan berkaitan apabila berlaku pencemaran sungai atau bekalan air.

“Namun, semua pihak akan menuding jari jika berlaku pencemaran. Tiada pihak yang mahu ambil tanggungjawab atau bertindak atas alasan kononnya bukan di bawah bidang kuasa mereka.

“Dalam kes pencemaran Sungai Kim Kim misalnya, apabila ini (agensi saling menuding jari) berlaku, Pegawai Daerah mengamuk. Itu sebabnya kita perlu badan khas untuk beri arahan tugas kepada agensi berkaitan bertindak mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pencemaran Sungai dan Impak Terhadap Bekalan Air Di Semenanjung Malaysia anjuran SPAN di sini, hari ini. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SPAN, Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman.

Negara sebelum ini berdepan beberapa kes pencemaran air sungai yang kronik seperti di Sungai Kim Kim yang menjejaskan 6,000 penduduk di Pasir Gudang pada Mac lalu.

Pada April lalu, 1,000 penduduk di Ayer Ganda, Perak terjejas selepas berlaku pencemaran arsenik pada loji rawatan air Ayer Ganda.

Pada Julai lalu, pencemaran bau dan diesel di Sungai Selangor menyebabkan bekalan air kepada lima juta akaun pengguna di Lembah Klang terjejas selama seminggu.

Charles berkata usaha mewujudkan badan khas itu perlu sebagai pelan strategik dan proaktif bagi kerajaan termasuk kerajaan negeri untuk menangani risiko berlaku krisis bekalan air akibat pencemaran pada sumber air.

“Adakah kita perlu tunggu sehingga berlaku lagi krisis bekalan air mentah baru kita hendak bertindak? Kita sudah 30 tahun berdepan dengan masalah ini. Ia harus ditangani segera,” katanya.

Beliau juga berkata, jika isu pencemaran sungai terus berlaku, ia dikhuatiri akan meningkatkan kos rawatan air sungai, sekali gus akan mendorong kenaikan tarif air dan kos sara hidup rakyat.

Katanya, SPAN juga berharap kerajaan sedia menimbang untuk meminda Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 bagi meningkatkan denda sebagai langkah kawalan dan mengingatkan industri supaya tidak mencemari sungai.

233 dibaca
Berita Harian X