Rabu, 14 Ogos 2019 | 3:26pm
MENTERI Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Kerajaan negeri ucap takziah buat keluarga Nora Anne

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mengucapkan takziah kepada keluarga Nora Anne Quoirin selepas penemuan mayat remaja itu semalam yang dilaporkan hilang sejak 4 Ogos lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya berharap kejadian itu adalah yang pertama dan terakhir berlaku di Negeri Sembilan dan di Malaysia.

“Kami berasa sedih atas kehilangannya kerana mereka tetamu kerajaan negeri. Kami bersimpati dengan apa yang berlaku dan berharap keluarga Nora Anne Quoirin bersabar.

“Kami harap kejadian ini adalah yang pertama dan terakhir berlaku di Negeri Sembilan dan Malaysia amnya, dan begitu juga kami berharap perkara ini tidak akan berulang lagi,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Semalam, pasukan SAR menemukan mayat remaja Ireland yang berumur 15 tahun itu yang dilapor hilang dari resort tersebut pada 4 Ogos.

Pengecaman mayat itu dibuat oleh keluarga remaja berkenaan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) yang mayat itu dibawa untuk proses bedah siasat.

Nora Anne disedari hilang dari bilik penginapannya di resort itu oleh keluarganya pada 8 pagi, 4 Ogos.

Remaja yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya di Malaysia pada 3 Ogos untuk percutian dua minggu di negara ini.

Aminuddin berkata kerajaan negeri turut mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Datuk Zaharuddin Mohd Shariff, 62, yang meninggal dunia akibat jangkitan pada organ dalaman di Hospital Tampin, Isnin lepas.

Katanya kerajaan negeri mengucapkan terima kasih atas jasa dan pengorbanannya kepada negeri ini.

– BERNAMA

Berita Harian X