Rabu, 14 Ogos 2019 | 8:15pm
Ibrahim pada sidang media khas di Wisma KGMB, Kuala Lumpur. - NSTP/Amirudin Sahib

ISA perlu dikuatkuasa semula untuk tangani isu perkauman

KUALA LUMPUR: Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) perlu dikuatkuasakan semula bagi membendung isu ketegangan kaum sehingga boleh menjejaskan keharmonian rakyat dan keselamatan negara.

Pengerusi Penaja dan Pengasas Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr Ibrahim Ali, berkata punca utama ketegangan kaum, selain penghinaan terhadap Islam dan agama lain yang berlaku sekarang turut berpunca daripada kesilapan kerajaan memansuhkan ISA sebelum ini.

“Dulu, ketika berlaku ketegangan kaum pada 1987 akibat tindakan sesetengah pihak mempersoalkan soal ketuanan Melayu. maka (Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri ketika itu) mengarahkan Ops Lalang dilancarkan bagi meredakan keadaan.

“Bagaimanapun, kerajaan sekarang semakin sukar mengawal keadaan kerana ISA sudah tiada, manakala undang-undang sedia ada tidak boleh membendung ketegangan kaum daripada terus memuncak. Itu sebab saya menentang cadangan menghapuskan ISA ketika ia dibawa ke Dewan Rakyat dulu walaupun pernah dua kali ditahan di bawah akta itu.

“Saya menyokong kerajaan perkenalkan semula ISA kerana boleh menghayati betapa pentingnya akta berkenaan wujud bagi menjaga ketenteraman negara serta hubungan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia sekarang,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), berkata ISA perlu dihidupkan segera kerana undang-undang sedia ada hanya boleh mengambil tindakan selepas negara kucar-kacir, bukannya bertujuan mahu mencegah.

“ISA perlu dikuatkuasakan semula kerana keupayaannya mencegah rusuhan dan ketegangan kaum. Namun, di Malaysia sekarang nampaknya mahu melihat rumah dibakar, jambatan runtuh atau ada kematian, baru mahu menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengkaji melaksanakan semula ISA.

“Jadi, saya berharap supaya kerajaan mempertimbangkan supaya ISA dikembalikan semula, selain mengekalkan penguatkuasaan Akta Hasutan 1948. Mudah sahaja kerajaan mahu hidupkan semula ISA kerana ia boleh dibentangkan di sidang (Parlimen) akan datang untuk kelulusan kerana rang undang-undang berkenaan sudah sedia ada di situ.

“Saya percaya jika usul mengembalikan semula ISA diluluskan maka mereka yang sukar buat kecoh (menimbulkan ketegangan kaum) tidak akan berani berbuat demikian lagi kerana takut ditahan mengikut ISA,” katanya.

Katanya, ISA membolehkan tindakan dikenakan ke atas mereka yang menjadi dalang atau bersikap ‘baling batu sembunyi tangan’ untuk mencetuskan ketegangan dan rusuhan kaum di Malaysia.

“Antara isu yang menyumbang kepada ketegangan kaum, termasuk kes kematian anggota bomba, Mohammad Adib Mohd Kassim akibat rusuhan di kuih Hindu, kes kemalangan dan kematian membabitkan Syed Muhammad Danial Syed Syakir serta terbaharu isu tindakan Dong Jiao Zong yang mempertikaikan pengenalan tulisan khat dan Jawi dalam subjek Bahasa Melayu,” katanya.

2200 dibaca
Berita Harian X