Rabu, 14 Ogos 2019 | 10:11pm
Ismail (baju gelap di hadapan) membuat laporan polis di IPD Kangar, hari ini. - NSTP/Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Gesa ahli perniagaan disiasat di bawah Akta ATM

KANGAR: Tindakan ahli perniagaan, Koon Yew Yin mengeluarkan kenyataan memperlekehkan pengorbanan anggota tentera di negara ini perlu disiasat mengikut Akta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM), Ismail Abidin, berkata kenyataan Yew Yin melabelkan anggota tentera sebagai pemalas dan ‘kerja makan tidur’ turut dilihat sebagai menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Ketua Pemerintah ATM.

“Kenyataan sedemikian adalah satu penghinaan serta bersifat menghasut agar warga tentera dipandang lekeh di mata rakyat.

“Apakah dia tidak tahu bahawa ATM dinaungi oleh Yang di-Pertuan Agong dan secara tidak langsung bertentangan dengan Akta ATM. Tidakkah dia sedar tindakannya itu menyentuh sensitiviti warga tentera,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, di sini hari ini.

Semalam, melalui laman blog kendalian ahli perniagaan itu sendiri, Yew Yin meminta agar kerajaan memecat penjawat awam dan menyemak semula senarai kakitangan di sektor kerajaan.

Beliau menjadikan anggota tentera sebagai contoh dan menyifatkan warga ATM hanya tahu ‘makan dan tidur’ sahaja.

Sehubungan itu, Ismail tampil membuat laporan polis agar ahli perniagaan itu disiasat kerana menghina warga ATM, selain mengeluarkan kenyataan menghasut.

Malah, katanya, Menteri Pertahanan dan Timbalan Menteri Pertahanan digesa agar mempertimbangkan dengan kementerian yang berkaitan untuk menarik semula status warganegaranya.

“Mana mungkin seorang warga Malaysia sanggup menghina aset negaranya sendiri dan tidak menunjukkan sifat hormatnya. Apa dia (Yew Yin) sudah lupa siapakah yang dahulunya bermatian berjuang mempertahankan tanah air di medan peperangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan dan enggan mengulas lanjut.

2212 dibaca
Berita Harian X