Khamis, 15 Ogos 2019 | 8:03pm
Tempat buang air kecil rosak dan tidak dibaiki di Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Bagan Ajam, Butterworth. - NSTP/Rosli Ahmad

Tiada kesedaran sivik punca tandas awam kotor

KUALA LUMPUR: Kurang kesedaran sivik, tiada rasa sayang kepada harta awam dan budaya penyelenggaraan dalam kalangan masyarakat dikatakan punca tandas awam di negara ini kotor.

Justeru, orang ramai, kalangan aktivis dan pemimpin mahu masyarakat negara ini melalui revolusi pemikiran mengenai aspek kebersihan dan disemarakkan dengan budaya penyelenggaraan dan sayangkan harta awam. Malah, ada pemimpin yang menyarankan tindakan undang-undang terhadap pencemar tandas awam.

Bagi aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye, pihak berkuasa dan rakyat perlu menjadikan budaya penyelenggaraan sebagai cara hidup. Masyarakat tidak seharusnya berfikiran seperti warga dunia ketiga dalam aspek penyelenggaraan tetapi mempunyai infrastruktur kelas pertama.

Lam Thye berkata, berdasarkan statistik, 61 peratus daripada 10,257 tandas awam di seluruh negara berada dalam keadaan teruk. Hanya 350 atau 3.4 peratus yang mencapai penarafan lima bintang manakala 1,086 atau 10 peratus pula dalam keadaan amat teruk untuk mendapat penarafan satu bintang yang paling minimum.


Aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Sementara itu, tinjauan BH di Hulu Selangor mendapati kebanyakan tandas awam masih belum memuaskan. Malah, pekerja kebersihan yang dilantik Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), K Murugayah, 46, berkata amalan menjaga kebersihan tandas masih terlalu rendah terutama generasi muda menyebabkan kemudahan awam itu tidak dijaga dengan baik.

Murugayah yang berpengalaman menjaga tandas awam lebih 10 tahun di stesen bas Kuala Kubu Bharu dan Bukit Sentosa di sini, berkata pekerjaan itu benar-benar menguji kesabarannya.

“Setiap hari apabila mencuci tandas saya perlu membuang barangan peribadi seperti tuala wanita, seluar dalam dan tisu yang ditinggalkan dalam bilik air,” katanya.


Keadaan tandas awam yang terbiar kotor dan berbau busuk di Terminal Bas Semenyih Sentral. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Bagi memastikan tandas awam sentiasa bersih, MDHS memperuntukkan RM75,000 setahun bagi kerja menyelenggara dan menaik taraf 81 tandas dalam kawasan pentadbirannya.

Yang Dipertua MDHS, Shukri Mohd Hamin, berkata pasukan petugas PBT itu sentiasa memantau jadual dan aktiviti pekerja kontrak yang menjaga tandas awam dalam kawasan itu bagi memastikan sentiasa dalam keadaan bersih.

Tinjauan BH di Medan Selera Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral, di Johor Bahru pula mendapati keadaan tandas awam di situ sangat menjijikkan. Sebaik saja menjengah ke tingkat tiga premis itu, bau hancing menusuk hidung pasti akan membuatkan sesiapa saja berasa mual.


Keadaan tandas yang kotor dan pintu yang rosak di medan selera di Terminal Larkin Sentral, Johor Bahru. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Pekerja pembersihan tandas di situ yang hanya mahu dikenali sebagai Dollah, 38, berkata bermacam cabaran dihadapinya untuk membersihkan tandas awam di situ sejak tiga tahun lalu.

Katanya, rakyat Malaysia perlu dididik cara yang betul menggunakan tandas termasuk membuang air besar di dalam mangkuk tandas disediakan dan bukannya di luar.

Di Kuala Terengganu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata tindakan undang-undang perlu dikenakan kepada orang ramai yang gagal menjaga kebersihan awam termasuk di tandas.

Mengakui bukan mudah untuk menukar minda masyarakat dalam memupuk nilai sivik untuk menjaga kebersihan awam, beliau berkata, kempen kesedaran juga harus dijalankan berterusan.

“Dari awal lagi, kerajaan negeri menekankan kepentingan aspek kebersihan, bukan saja di tandas awam, tetapi juga tempat awam lain seperti masjid, taman awam dan tempat rekreasi,” katanya.

Di Alor Gajah, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, berkata semua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri itu diberi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi mengukur tahap kebersihan tandas awam, sekali gus menangani isu tandas kotor.

“Tidak hanya isu kebersihan tandas awam di PBT, kita mahu isu ini diberi tumpuan lebih meluas termasuk di masjid, pusat beli belah dan stesen minyak termasuk tandas yang dikendalikan oleh pihak swasta.

“Seperti contoh di masjid, sesetengah tandas cukup bersih manakala ada sebahagian pula perlu diberi perhatian (kebersihan). Kita mahu setiap pemilik (tandas) bertanggungjawab menjaga kebersihan kerana ia bukan sahaja mencerminkan imej negeri, tetapi negara,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menzahirkan rasa malunya dengan keadaan tandas di negara ini yang tidak bersih dan busuk sekali gus mencerminkan sikap rakyat Malaysia yang tiada kesedaran sivik.

Selain itu beliau juga dilaporkan berkata usaha mendidik dalam bidang sivik menjadi satu perkara yang penting kerana ia mempunyai hubung kait dengan kehidupan masyarakat dalam menyumbang kepada kebaikan dan kesejahteraan.

Berita Harian X