Jumaat, 16 Ogos 2019 | 8:00pm
Ketiadaan insurans punca sukar dapat rawatan di hospital swasta. - Foto hiasan

Pesakit mental perlukan skim perlindungan

KUALA LUMPUR: Setakat ini, tiada syarikat insurans di Malaysia yang menyediakan polisi atau skim perlindungan kepada pesakit mental seperti diamalkan di Indonesia, Thailand dan terbaharu, Singapura.

Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr Hazli Zakaria, berkata harus ada usaha yang membolehkan penyakit mental dikategorikan sebagai penyakit kritikal daripada perspektif insurans.

Katanya, seperti di Amerika Syarikat, negara itu menetapkan supaya penyakit mental dirawat seperti penyakit fizikal.

“Ketiadaan skim perlindungan insurans menyukarkan pesakit mental yang ingin mendapatkan rawatan di hospital swasta berikutan kosnya tinggi dan ia boleh dibantu jika syarikat insurans menyediakan polisi.

“Insurans adalah satu bentuk diskriminasi amat ketara sedangkan saya pasti jika skim perlindungan diwujudkan bagi pesakit mental, ramai yang berminat untuk melanggannya kerana kehadiran penyakit ini adalah nyata,” katanya kepada BH, di sini.

Dr Hazli berkata, seperti penyakit kronik yang lain, rawatan bagi penyakit mental biasanya mengambil masa yang lama, termasuk rawatan intensif dari tiga hingga enam bulan.


Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr Hazli Zakaria. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Katanya, ia membabitkan perbelanjaan antara RM300 hingga RM500 termasuk kos ubat dan kaunseling tetapi dengan rawatan awal diberikan, komplikasi boleh dielakkan.

“Secara purata seseorang pesakit terpaksa membelanjakan RM300 hingga RM1,000 bagi setiap sesi rawatan tertakluk kepada jenis penyakit mental yang mereka hadapi.

“Kosnya adalah tinggi. Misalnya, bagi kemurungan, perbelanjaan ubat boleh mencecah RM500 dan bagi kaunseling atau psikoterapi pula, satu sesi sekitar RM200 hingga RM300 dengan sekurang-kurangnya 10 sesi diperlukan.

“Kalaulah ada bantuan daripada perlindungan insurans, rawatan optimum boleh diberikan namun apa yang berlaku sekarang rawatan itu tidak datang awal menjadikan penyakit lebih teruk,” katanya.

Dr Hazli berkata, syarikat insurans tidak mewujudkan polisi bagi penyakit mental kerana dikatakan tiada kaedah standard untuk mengesahkan penyakit itu berbanding penyakit fizikal yang boleh dikesan menerusi ujian klinikal.


Laporan disiarkan BH, semalam.

Lebih menyedihkan, katanya, apabila hak pesakit mental untuk mendapatkan perlindungan insurans bagi polisi sedia ada seperti kad kesihatan atau insurans nyawa juga dinafikan.

Beliau berkata, apabila seseorang itu didiagnosis sebagai pesakit mental, permohonan mereka untuk membeli polisi insurans sedia ada sukar diluluskan oleh pihak syarikat.

“Berdasarkan maklum balas pesakit, kebanyakan mereka tidak layak membeli polisi insurans apabila mereka memberitahu mempunyai penyakit mental.

“Kalau diluluskan pun pasti tidak sepenuhnya. Kalau ditanya pada wakil insurans, mereka akan menafikan namun itulah hakikatnya,” katanya.

Berita Harian X