Sabtu, 17 Ogos 2019 | 11:01am
. Pengarah Perhubungan Awam Patriot, Capt Dr Wong Ang Peng di sidang media Persatuan Patriot Kebangsaan di Subang Jaya. - Foto Zunnur Al Shafiq

Penerbitan artikel bersifat tohmahan - PATRIOT

KUALA LUMPUR: Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT) menggesa sebuah akhbar berbahasa Melayu (bukan BH) memohon maaf secara terbuka kerana menulis laporan bersifat tohmahan.

Pengarah Komunikasi Awamnya, Kapten (B) Dr Wong Ang Peng, berkata pihaknya memandang serius perbuatan yang menggambarkan PATRIOT sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang tidak jujur, penerima sogokan dan ‘korup’ itu.

Katanya, penyunting dan penulis akhbar berkenaan wajar memohon maaf secara terbuka kepada Presiden PATRIOT, Datuk Mohd Arshad Raji serta ahli PATRIOT dan pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya gagal berbuat demikian.

“Kami ahli PATRIOT merasa amat marah dan jelek dengan kandungan artikel yang tersiar di laman sesawang milik akhbar berbahasa Melayu ini pada 15 Ogos lalu.

“Penulis memetik kenyataan seorang ketua penerangan parti politik di sebuah negeri yang menuduh PATRIOT dengan sengaja mendiamkan diri terhadap satu kenyataan berkaitan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang di keluarkan oleh Koon Yew Yin.

“Melalui kenyataan berkenaan, akhbar dan individu terbabit melemparkan tohmahan yang menggambarkan PATRIOT sebagai sebuah NGO yang tidak jujur, penerima sogokan dan juga korup,” katanya dalam satu kenyataan hari ini,

Mengulas lanjut, Ang Peng berkata individu dan penyunting akhbar berkenaan tidak pernah berhubung untuk mengesahkan dengan PATRIOT jika ada sebarang maklum balas dibuat berhubung kenyataan Yew Yin.

“Ingin diingatkan, sebaik saja kenyataan ‘anggota tentera tidak berbuat apa-apa kecuali makan dan tidur’ timbul di media sosial, PATRIOT dengan segera menghubungi staf Kementerian Pertahanan untuk membuat siasatan.

“Susulan itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong, pada petang 14 Ogos mengesahkan Yew Yin sememangnya mengeluarkan kenyataan itu di blog beliau.

“Pada jam 9 pagi 15 Ogos, PATRIOT mengeluarkan satu kenyataan media mengkritik pandangan Yew Yin dan kejahilan beliau terhadap peranan dan tanggungjawab angkatan tentera.

Kenyataan itu diterbitkan beberapa potal akhbar dalam talian, lebih awal daripada artikel akhbar berkenaan yang hanya muncul pada jam 4.14 petang,” katanya.

Beliau berkata, lebih memudaratkan lagi adalah implikasi akibat tindakan yang tidak bertanggungjawab akhbar berkenaan.

“Artikel yang dinyatakan mencetuskan banyak komen bersifat tohmahan daripada pembaca terhadap Arshad secara peribadi dan juga kepada PATRIOT secara amnya.

“Komen menghina ini bukan saja terhad kepada pembaca akhbar itu tetapi juga menular ke media sosial lain yang menuduh PATRIOT sebagai boneka DAP, malah PATRIOT dengan secara tidak adil dihujani dengan komen yang mencaci dan menghina,” katanya.

Berita Harian X