Ahad, 18 Ogos 2019 | 11:10am

Teknologi Pertanian Padi Tepat tingkat pengeluaran

SEBERANG PERAI: Teknologi Pertanian Padi Tepat yang memanfaatkan sepenuhnya penggunaan Internet Kebendaan (IOT), diyakini mampu merancakkan pengeluaran hasil padi negara ini.

Pendekatan itu dicetuskan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang berharap ia juga menarik minat generasi muda menceburi bidang pertanian.

Pegawai Penyelidik Kanan Pusat Penyelidikan dan Kejuruteraan MARDI, Dr Badril Abu Bakar, berkata konsep pertanian tepat dalam pengurusan tanaman yang diusahakan, dibuat berpaksikan data membabitkan rantaian pengeluaran tanaman.

Beliau berkata, bermula daripada proses penyediaan tanah sebagai tapak sehingga penuaian hasil, sistem penderiaan digunakan bagi mengumpul maklumat seperti status nutrien dalam pokok dan tanah, cuaca persekitaran dan keadaan air.

Data terkumpul itu, katanya, digunakan untuk membuat sebarang keputusan dalam menguruskan tanaman yang diusahakan bermaklumat.

“Pertanian tepat membolehkan kita memberi input seperti baja dan benih pada kadar betul, pada tempoh betul dan masa yang betul.


Dr Badril menerangkan penggunaan IOT di Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi Padi MARDI Seberang Perai. - NSTP/Asyraf Hamzah

Paparan panel pada jentera yang menggunakan sistem IOT. - NSTP/Asyraf Hamzah

“Contohnya data ketinggian tanah membolehkan kita menghasilkan peta rawatan penaburan benih dan data nutrien dalam pokok di kawasan tertentu pula membolehkan kita menghasilkan peta rawatan pembajaan secara kadar boleh ubah,” katanya kepada BH.

Badril berkata, MARDI membangunkan tiga teknologi membabitkan aktiviti penyediaan tanah, penaburan biji benih dan penaburan baja yang menggunakan IOT untuk mengambil data sebelum dapatan yang diperoleh boleh diakses terus menggunakan tablet.

“Teknologi ini terdiri daripada traktor, aplikasi boleh ubah, sistem kawalan sistem kedudukan sejagat (GPS) dan komputer ladang.

“Kita juga ada bangunkan sistem amaran awal untuk kesan perosak dan penyakit. Semua ini menerapkan konsep revolusi industri 4.0 (IR 4.0) yang mana kita gunakan IOT untuk ambil data pesawah,” katanya.

Mengulas lanjut kelebihan teknologi pertanian tepat, Badril berkata, peta rawatan yang dihasilkan melalui perisian menggunakan algoritma model GAI yang diprogramkan dalam perisian pengiraan baja MARDI.

Selepas itu, katanya, peta rawatan akan dimasukkan ke dalam komputer ladang dan seterusnya penaburan baja menggunakan mesin akan dilakukan secara automatik.

Antara kelebihan sistem ini, pesawah akan mendapati perataan tanah yang berkesan dan taburan benih menggunakan mesin secara kadar boleh ubah bagi memastikan pokok padi ditanam dengan baik serta seragam.


Jentera menuai padi menggunakan teknologi IOT di Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi Padi MARDI Seberang Perai. - NSTP/Asyraf Hamzah

Pegawai Penyelidik Kanan Pusat Penyelidikan Kejuruteraan, Dr Arina Mohd Noh memasang ‘Light Trap’ bagi kajian Sistem Amaran Awal. - NSTP/Asyraf Hamzah

Beliau berkata, walaupun teknologi ini membabitkan kos yang tinggi, ia dapat menjimatkan penggunaan baja sebanyak 15 hingga 25 peratus sehektar melalui penggunaan sistem pembajaan secara kadar boleh ubah termasuk mengurangkan kebergantungan tenaga buruh sebanyak 50 peratus bagi aktiviti menabur benih dan membaja.

“Kita laksanakan projek ini di Felcra Seberang Perak, Perak dan Sungai Limau Dalam di Yan, Kedah. Hasilnya, ia mengurangkan kos dan mengoptimumkan hasil padi.

“Namun, ini semua untuk plot sawah yang luas dan memerlukan kerjasama luar seperti koperasi supaya boleh guna modal mereka untuk beli teknologi ini,” katanya.

Kajian Institut Penyelidikan Khazanah yang diterbitkan pada 2017 menunjukkan purata umur pesawah di kawasan jelapang padi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Kedah dan Perlis ialah 60 tahun.

Dapatan itu menunjukkan sektor pertanian, khususnya sebagai pesawah didominasi golongan tua.

Lebih malang apabila sektor pertanian yang menjadi tulang belakang negara sejak sekian lama gagal merapatkan jurang sosioekonomi antara masyarakat luar bandar dan bandar.

Berita Harian X