Ahad, 18 Ogos 2019 | 11:15am

Pegawai JPJ ditukar setiap 3 tahun

PUTRAJAYA: Pegawai dan kakitangan bahagian kritikal Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan ditukarkan penempatan mereka setiap tiga tahun, bagi mengelak terdedah kepada rasuah.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Shaharuddin Khalid, berkata langkah itu akan membabitkan pegawai dan kakitangan bahagian penguat kuasa, kewangan, pelesenan serta tender.

Katanya, pertukaran bahagian dan tempat kerja itu adalah di antara langkah pemutihan dibuat JPJ yang ketika ini mempunyai 8,000 kakitangan pelbagai peringkat, bagi mencegah salah laku ketika berurusan dengan orang ramai.

“Sebelum ini, ada dalam kalangan petugas berada terlalu lama pada satu-satu tempat. Kita tidak mahu keadaan itu membuka ruang kepada rasuah atau kesalahan membabitkan integriti.

“Justeru, kita buat dua lapisan pertukaran iaitu peringkat dalaman dan antara negeri. Kita pindahkan dan perketat proses urusan. Kalau dulu kita kaji pertukaran selepas lima tahun, sekarang selepas tiga tahun kita tengok semula, sama ada sesuai atau tidak bertugas di situ kerana tidak mahu seseorang ‘berakar’ (lama bekerja) di sesuatu tempat,” katanya kepada BH.


Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Shaharuddin berkata, langkah yang dijalankan menerusi Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) itu mewajibkan JPJ melakukan pusingan kerja dalam kalangan pegawai dan anggota.

“Kita bersetuju bahawa faktor pegawai dan kakitangan yang bertugas terlalu lama di suatu tempat membuka ruang kepada gejala ini.

“Oleh itu, semua pengarah diminta melihat semula kedudukan anggota dan pegawai yang bertugas di bawah seliaan mereka. Mereka dikehendaki membuat pusingan kerja kepada semua anggota dan pegawai dengan memfokuskan kepada mereka yang bertugas terlalu lama di suatu tempat,” katanya.

Shaharuddin berkata, pihaknya optimis pelaksanaan itu mampu memutuskan rantai rasuah yang wujud dalam jabatan berkenaan.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya memohon kerajaan menimbangkan kenaikan elaun kakitangan penguat kuasa JPJ yang pada masa ini ditetapkan sebanyak RM200 sebulan, selepas hampir 20 tahun tiada kenaikan.

“Kita minta kerajaan nilai semula jumlah elaun ini untuk meningkatkannya bagi membantu mengurangkan ancaman kepada isu integriti. Kalau kita bagi elaun RM1,000 atau RM2,000 pun sama juga sebab membabitkan sikap tetapi apabila elaun meningkat, bebanan jadi kurang.

“Kali terakhir elaun dikaji ialah pada tahun 2002 dan saya mohon supaya ia dikaji semula. Kita sudah hantar permohonan, hanya menunggu keputusan kerajaan. Saya melihat untuk mengurangkan beban supaya tidak timbul kakitangan mencari duit lain,” katanya.

Shahruddin berkata, beliau mahu segala lompang dan kelemahan tatacara kerja yang membuka ruang kepada guna kuasa diatasi.


Penukaran bidang tugas anggota setiap tiga tahun elak terdedah rasuah. - Foto hiasan

Katanya, pihaknya mengurangkan pembabitan manusia dalam sistem kerja yang secara tidak langsung mengelak berlaku isu salah guna kuasa dan integriti.

Beliau berkata, pihaknya juga merancang menggunakan sepenuhnya sistem timbang mudah alih yang menggantikan stesen timbang dalam tempoh dua tahun lagi, yang turut mengurangkan ruang berlaku rasuah.

“Kita sudah mula menggunakan alat penimbang mudah alih tetapi belum menyeluruh. Pada masa akan datang, JPJ akan melaksanakan penimbang mudah alih ini dalam pengurusan timbang kenderaan perdagangan.

”Sistem ini akan diletakkan di plaza tol dan lori dengan muatan akan ditimbang secara automatik apabila melalui plaza tol dan seterusnya anggota penguat kuasa akan mengeluarkan notis saman jika melebihi berat ditetapkan,” katanya.

“Sistem ini mampu mengelakkan berlaku salah guna kuasa apabila kenderaan ditimbang kerana ia dilaksanakan secara automatik,” katanya.

Berita Harian X