Ahad, 18 Ogos 2019 | 9:49pm
PRESIDEN Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM), Azman Shah Abd Rahman.

KPPJSM sokong langkah pusingan kerja tiga tahun sekali

[email protected]

KUALA LUMPUR: Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM) menyokong penuh pertukaran penempatan pegawai dan kakitangan bahagian kritikal di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk setiap tiga tahun.

Presidennya, Azman Shah Abd Rahman, berkata langkah itu yang turut dikenali sebagai pusingan kerja adalah perkara biasa, namun sebelum ini ia hanya dilakukan lima tahun sekali, selain bergantung kepada keputusan ketua jabatan atau cawangan.

“Pihak kesatuan sendiri sebelum ini memberi cadangan bahawa pusingan kerja itu dilakukan setiap tiga bulan sekali.

Ia berdasarkan satu kajian berhubung ‘gap analysis’ (analisis jurang) dijalankan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) mengenai cara kerja kakitangan JPJ.

“Maka, keputusan pengurusan tertinggi untuk membuatnya untuk tempoh tiga tahun sekali adalah munasabah dan kita sokong penuh langkah itu,” katanya kepada BH hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Bahagian Pengurusan JPJ kerana mereka sememangnya mempunyai hubungan baik selama ini.

“Gejala rasuah dan salah guna kuasa adalah isu yang sangat serius, namun kita yakin keadaannya agak terkawal dalam JPJ. Masih ramai dalam kalangan pegawai dan anggota kita melaksanakan tugas mereka dengan penuh berintegriti.

“Hanya segelintir yang terbabit dengan gejala sedemikian tetapi langkah tertentu perlu diambil bagi menanganinya supaya ia tidak menjadi satu gejala yang sukar dikawal,” katanya.

Bagaimanapun, Azman menjelaskan pusingan kerja membabitkan kakitangan berkemahiran tinggi yang bertugas seperti di bahagian automatif, kewangan dan teknologi maklumat agak sukar dilakukan kerana hanya mereka yang mempunyai kemahiran dalam bidang berkenaan boleh bertugas di bahagian itu.

“Justeru, kita minta pihak pengurusan JPJ fokus dahulu di bahagian yang sensitif (kritikal) seperti di bahagian penguat kuasa, pelesenan serta tender dan operasi. Ini kerana mereka yang kerap lebih berurusan dengan orang awam dan terdedah kepada gejala rasuah,” katanya.

Mengulas mengenai permohonan JPJ berhubung kenaikan elaun kakitangan penguat kuasa JPJ yang ketika ini ditetapkan RM200 sebulan, pihaknya juga menyokong penuh perkara itu.

“Permohonan yang dibuat melalui Ketua Pengarah JPJ (Datuk Seri Shaharuddin Khalid) dilihat lebih baik dan dapat dinikmati lebih ramai kakitangan jabatan itu. KPPJSM bersama Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memang menyuarakan perkara yang sama setiap tahun.

“Kita berharap perkara ini mendapat perhatian kerajaan kerana ia sedikit sebanyak dapat mengekang gejala rasuah,” katanya.

Semalam, Shaharuddin mengumumkan pegawai dan kakitangan bahagian kritikal JPJ akan ditukarkan penempatan mereka setiap tiga tahun, bagi mengelak terdedah kepada rasuah, dengan penumpuan kepada bahagian penguat kuasa, kewangan, pelesenan serta tender.

Katanya, pertukaran bahagian dan tempat kerja itu adalah di antara langkah pemutihan dibuat JPJ yang ketika ini mempunyai 8,000 kakitangan pelbagai peringkat bagi mencegah salah laku ketika berurusan dengan orang ramai.

Shaharuddin berkata, langkah yang dijalankan menerusi Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) itu mewajibkan JPJ melakukan pusingan kerja dalam kalangan pegawai dan anggota.

Berita Harian X