Isnin, 19 Ogos 2019 | 2:18pm
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tunku Alizakri Alias. - Foto Salhani Ibrahim

Ahli KWSP dibenar labur sendiri caruman

KUALA LUMPUR: Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang layak kini boleh membuat pelaburan dalam dana unit amanah ditawarkan oleh Institusi Pengurusan Dana (IPD) diluluskan oleh KWSP menerusi saluran layan diri dalam talian i-Invest melalui i-Akaun (Ahli).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tunku Alizakri Alias, berkata bagi ahli di bawah umur 55 tahun, pelaburan boleh dilakukan secara terus menggunakan sebahagian daripada jumlah simpanan yang layak dipindahkan dari Akaun 1 dan akan dikenakan caj jualan serendah sifar hingga 0.5 peratus untuk setiap transaksi.

“Kami sangat teruja untuk memperkenalkan i-Invest kerana kemudahan digital ini memberi kuasa kepada ahli KWSP untuk mengawal pelaburan mereka serta kos transaksi hampir sifar.

“Bagi memastikan ahli kami mendapat maklumat secukupnya, i-Invest berfungsi membantu ahli dalam mendapatkan maklumat dan membuat perbandingan antara dana unit amanah, seterusnya membantu ahli memilih dana yang sesuai dengan sasaran pelaburan mereka.

“Ini adalah suatu kebanggaan kerana kami percaya KWSP adalah yang pertama di dunia yang menghasilkan pautan terus antara simpanan persaraan ahli dengan kemudahan pelaburan dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Tunku Alizakri berkata, kemudahan i-Invest menyediakan fungsi yang fleksibel dan mudah untuk ahli KWSP membuat pelaburan, transaksi serta memantau pelaburan unit amanah pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Beliau berkata langkah, berkenaan juga membolehkan ahli membuat perbandingan antara dana unit amanah yang ditawarkan oleh IPD, selain memantau pelaburan mereka melalui i-Akaun dan mendapatkan maklumat berkaitan kos pelaburan, prestasi pelaburan dan sebarang maklumat berkanun yang diperlukan.

Tunku Alizakri berkata, elemen penting dalam kemudahan pelaburan dalam talian ini adalah caj jualan yang hampir percuma berikutan langkah KWSP dalam meletakkan had sehingga 0.5 peratus sahaja, berbanding caj tiga peratus ke atas transaksi sekiranya ia dilakukan di luar talian atau melalui ejen.

Justeru, beliau menyarankan ahli yang berminat untuk menggunakan i-Invest untuk mengambil langkah waspada dalam membuat sebarang keputusan pelaburan dan menasihatkan mereka untuk mendapatkan maklumat yang tepat atau pendapat perunding profesional sebelum membuat sebarang transaksi.

“Ahli KWSP boleh memindahkan daripada Akaun 1 sehingga 30 peratus daripada jumlah melebihi Simpanan Asas mengikut umur masing-masing untuk dilaburkan dalam dana yang layak.

“Mereka juga boleh membuka akaun untuk membuat pelaburan di dalam dana unit amanah melalui mana-mana IPD menggunakan kemudahan i-Invest.

“Ahli berumur 55 tahun ke atas juga boleh menggunakan i-Invest dengan membuat pengeluaran simpanan daripada Akaun 55 atau Akaun Emas melalui i-Akaun, tertakluk kepada mengekalkan baki minimum RM1,000 dalam akaun mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Tunku Alizakri berkata, KWSP mengenakan garis panduan yang ketat kepada IPD untuk dituruti bagi memelihara integriti skim ini dan kepentingan ahli yang menyertai skim ini, serta memastikan IPD memikul tugasan mereka secara berhemah dan bertanggungjawab.

“Untuk tempoh 2019/2020, sebanyak 389 dana daripada pelbagai kategori, iaitu ekuiti, aset campuran, pasaran wang dan amanah hartanah, telah diluluskan di bawah Skim Pelaburan Ahli KWSP,” katanya.

27961 dibaca
Berita Harian X